BARU memasuki hari keempat umat Islam berpuasa, bacaan gula masing-masing 'naik mendadak' khususnya dalam kalangan peminat selebriti, Bella Astillah dan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Mana tidaknya, boleh dikatakan majoriti pengguna media sosial di negara ini terbawa arus dek 'kemanisan' kisah kedua-dua figura berkenaan, bukan kerana manisnya juadah berbuka puasa.
Fenomena BASS atau Bella Astillah-Syed Saddiq menjadi bualan ramai tatkala artis dan wakil rakyat itu mula digabungkan dalam satu kempen sebagai duta baju raya jenama terkemuka sejak awal tahun ini.
Keakraban mereka dikesan warga maya apabila sering melakukan aktiviti bersama-sama antaranya membeli-belah, melawat dan menyantuni penduduk Muar, mendaki Gunung Kinabalu serta memasak malah yang terbaharu promosi sambil makan angin di Semporna, Sabah.
Ini bukan lagi berita hiburan semata-mata memandangkan ramai ternanti-nanti khabar gembira yang bakal diumumkan kedua-dua pihak, bahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat berseloroh tentang bila hari bahagia itu akan tiba.
Jika dilihat video terbaharu yang dimuat naik Syed Saddiq di Instagram sewaktu pertemuannya dengan Anwar di pekarangan Dewan Rakyat pada Selasa, pemimpin negara terbabit sempat bertanyakan hal tersebut, memberi gambaran tentang soal perkahwinan.
Respons diberi hanya minta doa agar semuanya dipermudahkan sambil memberi jaminan Anwar pemimpin pertama yang akan dimaklumkan kelak.
Menjengah di ruangan komen, tidak ada seorang netizen pun yang membantah sebaliknya menyokong jika bahtera BASS berlayar suatu hari nanti.
Terdahulu, ibu kepada Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz memberikan jawapan santai mengenai hubungan anaknya itu sesi menerusi penstriman langsung bersama Syed Abdullah di TikTok.
Katanya, hubungan Syed Saddiq dan Bella persis seperti pasangan legenda, 'Romeo & Juliet'.
Menurut Sharifah Mahani lagi, beliau tidak menghalang anaknya untuk menjalinkan hubungan dengan Bella, namun dalam masa sama menasihatkan anak bongsunya supaya jangan 'langkah bendul'.
Nampaknya, fenomena BASS benar-benar menenggelamkan pasangan atau duta baju raya jenama lain tahun ini kerana netizen beranggapan ia bukan sekadar hubungan dek tuntutan kerja, tetapi keserasian yang lebih daripada itu.