SHAH ALAM – Taktik licik sindiket penyeludupan dadah menyembunyikan syabu dalam mesin pembuat wafel terbongkar dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu.
Kegiatan sindiket itu berjaya dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menemukan tiga bungkusan berisi dadah jenis syabu seberat 3.094 kilogram (kg) yang disembunyikan dalam mesin berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati taktik itu digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan kegiatan berkenaan.
"Susulan rampasan itu, polis kemudiannya menahan dua lelaki tempatan di pintu pelepasan domestik KLIA kira-kira jam 6 pagi hasil maklumat risikan dijalankan.
"Soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kajang sebelum menemukan 20kg pil Erimin 5, 0.126 kilogram syabu dan 0.075kg ketamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Hussein berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu sudah melakukan lima penghantaran menggunakan taktik sama sejak Januari lalu.
"Siasatan mendapati rumah yang menjadi lokasi simpanan dadah di Kajang itu disewa dengan harga RM4,300 sebulan.
"Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.2 juta dan dipercayai untuk diedarkan untuk pasaran di Sarawak," katanya.
Katanya, semakan terhadap kedua-dua suspek yang berusia 27 dan 31 tahun itu mendapati kedua mereka tiada sebarang rekod jenayah lampau.
"Bagaimanapun, ujian saringan dijalankan mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis ketamin.
"Serbuan turut menyita sebuah kereta Honda City bernilai RM60,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.