Polis masih tunggu laporan perubatan kes guru didakwa jalin hubungan dengan murid

Iklan
Hussein

SHAH ALAM - Polis masih menunggu laporan perubatan bagi melengkapkan siasatan kes seorang guru yang didakwa menjalin hubungan dengan murid perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Dengkil dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan itu menjadi dokumen penting sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Iklan
Iklan

"Siasatan hampir selesai dan hanya menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital sebelum kita melengkapkan kertas siasatan.

"Setakat ini, keterangan enam saksi sudah dirakam membabitkan mangsa, bapa mangsa, seorang guru dan dua pelajar lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Iklan

Hussein berkata, telefon bimbit milik mangsa dan suspek juga turut dianalisis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa adalah pelajar cemerlang, aktif dalam kokurikulum serta tidak mempunyai masalah disiplin di sekolah.

Iklan

"Suspek juga tidak mempunyai rekod salah laku disiplin dan memperoleh penilaian prestasi tinggi sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai guru.

"Suspek merupakan seorang duda dan bapa kepada tiga anak," katanya.

Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan laporan polis dibuat bapa mangsa pada 26 Februari lalu selepas menemui mesej mencurigakan antara anaknya dengan guru terbabit.

Guru itu dipercayai kerap menghubungi mangsa menerusi aplikasi dalam sosial dalam keadaan meragukan.