KUALA LUMPUR - Tindakan mencampurkan beras putih tempatan (BPT) bersama beras import bertujuan bagi memenuhi cita rasa pengguna tempatan selain untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran.
Malah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dapatan kajian dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal tahun mendapati tindakan itu berlaku sejak tahun 1970-an lagi selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).
"Kajian MyCC juga merumuskan tujuan campuran ini adalah memenuhi cita rasa pengguna tempatan serta untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar), yang ingin tahu ke mana perginya beras tempatan untuk rakyat sedangkan keluasan sawah negara adalah lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih daripada 2.4 juta tan metrik padi semusim.
Ujarnya, kajian berkenaan sudah dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 2024 pada 17 Disember 2024.
Jelas beliau, KPKM telah diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan beras import melalui perundangan.
Selain itu, katanya, KPKM juga perlu merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.
Skandal beras campur terbongkar baru-baru ini selepas MARDI mendedahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import daripada 5,000 sampel dianalisis disahkan bercampur dengan BPT.
Kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024 dengan sampel beras diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang.
Analisis itu dilakukan bagi mengenal pasti hilangnya BPT di pasaran selaras dengan penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada tahun 2023.
Sementara itu, Mohamad menjelaskan tiada peruntukan khusus yang jelas bagi membolehkan pendakwaan kesalahan beras campur di mahkamah mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan perundangan subsidiari di bawahnya.
Pada 13 Februari lalu, kerajaan mengumumkan pelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari 2025.
Ia sebagai usaha awal kerajaan memastikan keseimbangan dalam industri padi dan beras selain mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram.