86 premis judi dipotong bekalan elektrik, Iskandar Puteri tertinggi

Iklan
Sebanyak 86 premis perjudian tanpa lesen dipotong bekalan elektrik, manakala lapan premis lain dibatalkan lesen perniagaan dalam operasi yang dijalankan serentak di seluruh Johor hujung bulan lalu. - Foto IPK Johor

JOHOR BAHRU – Sebanyak 86 premis perjudian tanpa lesen dipotong bekalan elektrik, manakala lapan premis lain dibatalkan lesen perniagaan dalam operasi yang dijalankan serentak di seluruh Johor hujung bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi selama dua hari itu membabitkan 18 pegawai kanan polis, 46 pegawai rendah polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor, 48 anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tujuh anggota Majlis Perbandaran Daerah Muar serta Tangkak.

Iklan
Iklan
Lapan premis lain dibatalkan lesen perniagaan dalam operasi yang dijalankan serentak di seluruh Johor hujung bulan lalu. - Foto IPK Johor

Menurutnya, tindakan dilakukan mengikut Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 bagi memastikan premis terbabit tidak dapat kembali beroperasi.

"Daerah Iskandar Puteri mencatatkan jumlah tertinggi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis perjudian tanpa lesen dalam yang dijalankan serentak di seluruh Johor pada 25 dan 26 Februari lalu.

Iklan

"Sebanyak 19 premis di Iskandar Puteri dikenakan tindakan, diikuti Johor Bahru Selatan (14), Kota Tinggi (11), Johor Bahru Utara (10), Muar (7), Batu Pahat (6 ), Pontian (5), Kulai (4), Kluang (4), Segamat (3), Mersing (2) dan Tangkak (1).

"Selain itu, tujuh premis di Muar dan satu premis di Tangkak turut dikenakan tindakan sitaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan
Operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis perjudian tanpa lesen dalam talian dijalankan serentak di seluruh Johor pada 25 dan 26 Februari lalu.- Foto IPK Johor

Dalam pada itu beliau memaklumkan, sejak 1 Januari 2024 hingga 26 Februari 2025, sebanyak 470 premis perjudian haram telah dipotong bekalan elektrik, manakala 88 lesen perniagaan dibatalkan.

Polis Johor turut memohon kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akses ke laman web perjudian dalam talian.

"Polis Johor tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perjudian haram dan operasi akan terus diperhebatkan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan aduan menerusi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan di 07-2212999," ujarnya.