Persenda agama lain, Era FM mohon maaf

Iklan
Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi dilihat mempersendakan tarian kavadi Hindu.

PENYAMPAI radio slot 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi dilihat mempersendakan tarian kavadi Hindu.

Tarian sinonim dengan upacara suci ketika Thaipusam itu dilakukan salah seorang penyampai, sambil menyebut 'Vel Vel' disusuli gelak tawa.

Iklan
Iklan

Sedar akan kesalahan dilakukan, ketiga-tiga penyampai berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagram Era.

"Salam sejahtera kepada semua sahabat kami yang sedang menonton kami di 3 Pagi Era. Saya Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami dimuat naik di laman sosial Era.

Iklan

"Berhubung aksi kami kurang menyenangkan dan telah menyinggung hati segelintir pihak dan sahabat kami berbangsa India," ujar Nabil.

Tambah Azad, mereka di 3 Pagi Era sentiasa terbuka terima komen dan kritikan untuk memperbaiki lagi diri terutama pendengar setia stesen radio tersebut.

Iklan

"Sekali lagi kami menyusun jari memohon maaf atas kesilapan kami tanpa sedar dilakukan," katanya.

"Kami akui kesilapan dan kekhilafan kami. Kami juga pastikan perkara sama tidak akan berulang lagi pada masa akan datang," tambah Radin pula.

Sementara itu, pihak pengurusan tertinggi Era turut tampil memohon maaf menerusi platform sama.

"Kami menyusun jari memohon kemaafan berkaitan satu video dimuat naik baru-baru ini di platform media rasmi kami berkaitan aksi kurang menyenangkan daripada penyampai radio kami, hingga mencetuskan perasaan kurang senang kepada sahabat-sahabat kami berbangsa India terutamanya beragama hindu dan rakyat Malaysia.

"Selepas ini, kami akan pastikan insiden yang sama tidak akan berulang dan kami kekal sentiasa peka dengan perkara yang berlaku di sekeliling kami.

"Sekali lagi, kami mohon maaf di atas kekhilafan kami," ujar mereka menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, video terbabit mencetuskan kemarahan Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio Era FM.

Malah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio.

"Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci, termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat SKMM bagi memberikan penjelasan penuh.

"Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.