KOTA KINABALU - Hanya kerana ingin mendapatkan habuan yang tinggi, dua penganggur sanggup menjadi 'transporter' mengedar dadah bernilai lebih RM100,000.
Bagaimanapun, kegiatan wanita berusia 25 tahun dan lelaki 70 tahun itu akhirnya membawa padah apabila ditahan bersama lebih tiga kilogram syabu dalam serbuan di kawasan Api-Api Centre pada 27 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tangkapan dan rampasan itu adalah hasil maklumat risikan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama IPD Penampang.
"Dalam serbuan itu, terdapat seorang wanita sedang memegang beg kertas di hadapan sebuah kenderaan yang dipandu lelaki berusia 70 tahun di lokasi tersebut.
"Hasil pemeriksaan dalam beg kertas tersebut berjaya merampas sebanyak 1,048.02 gram syabu dan susulan daripada itu membawa kepada rampasan kedua iaitu sebanyak 2,110.03 gram syabu di sebuah rumah di Penampang.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak 3,158.05 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM101,000 dan dipercayai boleh digunakan lebih 15,000 penagih dadah di kawasan ini," katanya dalam sidang akhbar di IPD Kota Kinabalu di sini pada Selasa.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek wanita didapati positif dadah dan kedua-duanya tidak bekerja.
"Kedua-dua suspek merupakan kenalan yang melakukan kerja-kerja sebagai transporter mengambil dadah dari kurier yang dipercayai dikirim dari Johor sebelum syabu itu dibungkus semula dalam pek kecil untuk tujuan pengedaran.
"Mereka dipercayai aktif sejak tahun lalu dan mendapat upah sekitar RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu kilogram dadah dan untuk kali ini mencecah sehingga RM6,000 upah yang diterima.
"Kita juga percaya terdapat sindiket yang terlibat namun siasatan masih lagi dilakukan dan kedua-duanya telahpun direman. Terdapat beberapa barangan lain turut dirampas termasuk kereta jenis Proton Satria, cincin, jam tangan dan wang tunai RM1,066," katanya.
Kasim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.