PUTRAJAYA - Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada sekiranya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya dihantar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan urusan lesen memandu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menerima aduan mengenai mesej yang mengandungi pautan mencurigakan yang disyaki bertujuan memperdaya penerima.
"JPJ tidak pernah menghantar sebarang pautan berkaitan urusan lesen memandu melalui SMS kepada orang ramai.
"Kami telah mengenal pasti bahawa SMS tersebut menggunakan nama ‘MyJPJ’ dan dipercayai mengandungi pautan pishing untuk tujuan memperdaya orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej mencurigakan yang menawarkan perkhidmatan berkaitan JPJ.
"Jangan klik pada sebarang pautan yang meragukan. Sebaiknya, orang ramai perlu merujuk terus kepada JPJ melalui saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat yang sahih," katanya.
Aedy Fadly turut menegaskan bahawa JPJ sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan para pelanggannya terpelihara daripada sebarang bentuk penipuan dalam talian.
Sebarang aduan berkaitan boleh disalurkan kepada JPJ melalui Portal Aduan Rasmi JPJ di https://jpj.spab.gov.my/.