Fenomena watak jahat dalam drama Islamik

Iklan
WATAK berpakaian Islamik sering ditampilkan dalam drama tempatan namun pembawakan watak yang negatif boleh merosakkan persepsi masyarakat terhadap orang Islam. Foto CANVA/Gambar kecil: USTAZ MOHD SYAHID

SEJAK kebelakangan ini, semakin banyak drama yang mengetengahkan unsur Islamik, sama ada dari segi pemakaian, dialog atau latar belakang watak.

Namun, apa yang menjadi perhatian ialah apabila watak yang kelihatan Islamik sering kali digambarkan sebagai penipu, hipokrit atau zalim.

Iklan
Iklan

Ini menimbulkan persoalan, adakah pendekatan ini mendidik atau sebenarnya mencipta persepsi negatif terhadap ajaran Islam?

1. Islam tidak mengajar hipokrasi dan kezaliman

Iklan

Islam sangat menekankan keseimbangan antara luaran dan dalaman. Berpakaian menutup aurat, bertutur dengan bahasa yang baik dan mengamalkan ajaran Islam adalah sebahagian daripada identiti seorang Muslim.

ALLAH SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi ALLAH bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah as-Saff: 2-3)

Iklan

WATAK jahat dalam drama bukanlah satu kesalahan, tetapi penyampaiannya perlu bersederhana. Foto CANVA

Ini bermakna Islam melarang hipokrasi dan menekankan bahawa keimanan harus selari dengan akhlak.

2. Perlu Seimbang dalam Penceritaan

Tidak dinafikan bahawa dalam realiti, ada individu yang kelihatan Islamik tetapi mempunyai akhlak yang buruk. Ada tapi bukanlah semua.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ini bermaksud, dalam menyampaikan mesej, perlu ada kesederhanaan. Jika ada watak Islamik yang jahat, maka perlu ada juga watak Islamik yang baik untuk menggambarkan keseimbangan dalam masyarakat.

3. Mendidik, bukan menghukum

Drama adalah medium yang kuat dalam membentuk pemikiran masyarakat.

Sebaliknya, jika drama menampilkan watak yang tersilap tetapi kembali ke jalan yang benar, ini lebih mendidik dan memberi inspirasi kepada penonton.

DRAMA harus digunakan sebagai medium untuk mendidik, menunjukkan nilai-nilai Islam yang sebenar dan menggambarkan realiti dengan lebih adil. Foto CANVA

ALLAH SWT berfirman:"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH, sesungguhnya ALLAH mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIAlah Yang MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah Az-Zumar: 53)

Ini menunjukkan bahawa Islam menggalakkan perubahan ke arah kebaikan, bukan sekadar menonjolkan kejahatan tanpa jalan keluar.

Sebagai kesimpulannya, watak jahat dalam drama bukanlah satu kesalahan, tetapi penyampaiannya perlu bersederhana.

Jika terlalu banyak watak Islamik yang dipaparkan sebagai jahat tanpa keseimbangan, ia boleh merosakkan persepsi masyarakat.

Sebaliknya, drama harus digunakan sebagai medium untuk mendidik, menunjukkan nilai-nilai Islam yang sebenar dan menggambarkan realiti dengan lebih adil.

Akhir kalam, menutup aurat adalah wajib dan membawa syiar itu tuntutan.

***USTAZ MOHD SYAHID MODH ZAINI merupakan pendakwah bebas.