KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh memberi pertimbangan khas bagi pengeluaran dana simpanan melibatkan kes-kes tertentu yang kritikal meskipun di luar syarat dan kaedah sedia ada.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tidak ada kelonggaran berlebihan akan diberikan selari dengan prinsip KWSP adalah simpanan untuk hari tua pencarum.
Menurutnya, tindakan membuka ruang yang terlalu luas untuk akses pengeluaran dana KWSP hanya akan 'menghukum' pencarum ketika bersara.
"Ada kalanya beberapa pengecualian dan kelonggaran diberikan...dan banyak kes rayuan khusus diberi pertimbangan khas terutama dalam keadaan keuzuran dan sebagainya.
"Tapi membuka ruang yang terlalu luas bermakna kita akan menghukum mereka apabila mereka beransur tua dan bersara.
"Kerajaan perlu melakukan keseimbangan ini, antara menyelesaikan masalah mendesak segera dan menghukum, mendera mereka ketika sudah bersara dan tidak ada upaya lain," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang mahu tahu adakah kerajaan wajar mempertimbangkan kumpulan pencarum terdesak mengeluarkan duit simpanan mereka sendiri untuk meneruskan kehidupan.
Anwar berkata, dividen 6.3 peratus yang diumumkan akan memberi fahaman lebih jelas kepada pencarum bahawa simpanan KWSP akan memberikan hasil yang lumayan kepada mereka.
"KWSP sudah keluarkan kenyataan bahawa majoriti pencarum terutamanya masyarakat Melayu ada simpanan yang sangat kecil," katanya.
Namun, beliau percaya sekiranya terdapat kes spesifik, pertimbangan boleh diberikan.
"Jadi kalau ada spesifik yang dibangkitkan Padang Terap, saya percaya KWSP boleh berikan pertimbangan seperti mana yang mereka lakukan sekarang,
"Katalah keadaan mendesak, walaupun tak ikut kaedah yang diberikan sekarang," katanya.