PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dipenjarakan serta-merta oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan bersalah, hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 berhubung kes terbabit.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu menjalani hukuman penjara mulai Selasa.
Peter, 54, yang memakai kot gelap kemudiannya menoleh kepada isterinya yang berada di galeri awam, sejurus anggota polis mengiringinya keluar dari bilik mahkamah, yang dipenuhi dengan ahli keluarga dan penyokongnya.
Ahli politik itu dijangka menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Semasa membaca keputusan penghakiman, Hakim Mohamed Zaini berkata, panel sebulat suara berpendapat, Mahkamah Rayuan tidak boleh mengubah penemuan mahkamah rendah kecuali penemuan tersebut terbukti salah.
Menurutnya, mahkamah menekankan kepentingan prinsip ini, terutama apabila kesimpulan kes bergantung pada kredibiliti saksi serta pemerhatian terhadap kejujuran dan ketepatan keterangan mereka.
Katanya, dalam kes ini, mahkamah berpuas hati bahawa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menilai semua keterangan secara menyeluruh dan tiada kesilapan yang membolehkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
"Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa sabitan terhadap tertuduh adalah kukuh dan tidak wajar diketepikan.
"Mahkamah turut menolak rayuan Peter selaku perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pendakwaan selaku responden, memohon mahkamah menambah tempoh pemenjaraan serta jumlah denda namun Peter memohon hukuman diringankan.
Katanya, hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah hanya boleh diubah sekiranya ia terlalu berat atau amat ringan.
Justeru, beliau berkata, Mahkamah Sesyen telah mempertimbangkan semua faktor yang relevan sebelum membuat keputusan maka, Mahkamah Rayuan tidak mempunyai alasan untuk mengubahnya.
Dalam pada itu, hakim ini berkata, mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen bahawa Peter selaku pengarah urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd, telah memasukkan kenyataan palsu dengan niat untuk melakukan penipuan.
Katanya, ia mengenai surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014.
Selain itu beliau berkata, perayu juga telah memperdaya tiga individu iaitu saksi pendakwaan ketiga (SP3), Mohd Shukur Mohd Din; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S Omang (SP8) dan Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd Said (SP9).
Beliau berkata, Peter turut menggunakan surat itu untuk mengelirukan SP12, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menganggap beliau mendapat sokongan UMS untuk mendapatkan kontrak melalui rundingan terus selama lima tahun.
Sedangkan beliau berkata, kontrak itu telah diberikan kepada syarikat lain melalui tender terbuka.
"Kami juga bersetuju dengan dapatan mahkamah bahawa perkara itu sudah mencukupi untuk menunjukkan bahawa perayu memalsukan surat terbabit, untuk melakukan penipuan.
"Panel bersetuju, hanya perayu boleh mengubah surat itu, kerana ketiga-tiga saksi terbabit tidak mempunyai kepentingan kewangan dalam kontrak berkenaan.
"Sebaliknya, tertuduh dan syarikatnya akan mendapat keuntungan daripadanya,” kata hakim.
Dalam prosiding sebelum ini, Peter diwakili peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan sementara responden dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.
Surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan syarikat milik Peter iaitu Asli Jati Engineering.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 26 Mei 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi menjatuhi Peter hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan surat itu.
Pada 18 April 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache mengekalkan hukuman penjara dan denda, selepas menolak rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan serta hukuman oleh Mahkamah Sesyen.
ARTIKEL BERKAITAN: UMS tak pernah lantik syarikat Asli Jati Engineering secara rundingan terus