SHAH ALAM - Dua lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Subang, Seksyen U16 di sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam jam 6.04 petang.
"Mangsa mendakwa telah dipanggil oleh seorang lelaki yang bertindak memasukkan tangan ke dalam seluar serta melakukan isyarat lucah ke arahnya di bawah blok pangsapuri itu.
"Wanita itu kemudian bergegas pulang ke rumahnya, namun dia diekori suspek bersama seorang lagi rakan senegara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek bertindak agresif dengan memegang pintu grill serta memanggil pengadu supaya keluar rumah.
"Mangsa berasa takut dan telah menghubungi abang saudaranya untuk meminta bantuan.
"Kedua-dua suspek berjaya ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki berusia 38 dan 44 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta tidak bekerja.
"Semakan juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula 27 Februari hingga 12 Mac 2025 bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Ayu Asliza Othman di talian 019-399 4871," katanya.
Terdahulu tular video berdurasi dua minit 39 saat memaparkan orang ramai menahan dua lelaki warga asing yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pangsapuri.