World #QuranHour 2025: Hawariyyun terapkan sifat berani berkata benar

Iklan
World #QuranHour 2025 yang berpandukan surah al-Saff dengan tema #SavingTheUmmah akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak pada 25 Mac ini. Gambar kecil dari kiri: Md Rabiul, Said Ouedraogo

GOMBAK - Istillah Hawariyyun menerusi ayat 14 surah al-Saff yang dibawa dalam World #QuranHour 2025 dapat membentuk sifat tanggungjawab, ikhlas dan berani berkata benar dalam diri umat Islam.

Pelajar luar negara jurusan Tafsir Al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Said Ouedraogo, 35, berkata, prinsip tersebut penting untuk diterapkan dalam kefahaman generasi masa kini terutama golongan muda yang bakal menjadi contoh pemimpin pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

"Maksudnya, umat Islam perlu ada rasa bertanggungjawab dalam diri apabila melakukan sesuatu perkara termasuk ketika berbuat silap.

"Sebagai contoh apabila saya pecahkan barang, saya perlu bertanggungjawab dengan cara membayar ganti rugi dan meminta maaf.

Iklan

"Konsepnya mudah tetapi sebenarnya ia amat penting untuk diterapkan dalam diri masyarakat sama ada di tempat kerja atau universiti,” katanya kepada Sinar Harian.

Tahun ini, World #QuranHour membawa misi besar berpandukan Surah Al-Saff dengan tema #SavingTheUmmah.

Iklan

Acara perdana berkenaan akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak pada 25 Mac ini bersamaan 24 Ramadan 1446H.

Ujar Said, umat Islam memainkan peranan dalam menjadi Hawariyyun moden dalam generasi masa kini.

Menurutnya, kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan para rasul boleh dijadikan sebagai contoh teladan oleh masyarakat Islam masa kini dalam melahirkan generasi baharu yang berpegang kepada prinsip kebenaran, beriman dan menjauhi sifat bohong.

"Oleh sebab itu saya sokong penganjuran World #QuranHour kerana ia merupakan salah satu inisiatif untuk kita mendekatkan diri dengan al-Quran.

"Melalui penghayatan al-Quran, kita dapat meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar luar negara jurusan Pengajian Quran dan Sunnah, Md Rabiul Hasan, 30, berkata, World #QuranHour perlu melibatkan lebih ramai penyertaan pelajar luar negara di peringkat universiti bagi memastikan manfaat dan nilai dakwah dapat disebarkan pada tahap global.

Ulasnya, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai orang memahami konsep penghayatan al-Quran sekali gus menyatupadukan masyarakat Islam di seluruh dunia.

"Di UIAM, ada banyak komuniti Islam seperti Palestin, Bangladesh dan India. Jika boleh mengadakan kolaborasi dengan komuniti-komuniti ini, saya fikir program berkenaan akan menjadi lebih efektif.

"Selain itu, jika program tersebut dapat dianjurkan dua kali setahun, ia juga lebih baik supaya dapat membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk menyertainya,” katanya.