KOTA BHARU - Helah seorang lelaki warga Pakistan bahawa dia bekerja di negara ini sejak tahun lalu gagal apabila pihak berkuasa mendapati tiada sebarang bukti mengenai dakwaan itu.
Lelaki berkenaan ditahan selepas dipercayai dalam perjalanan untuk menyeberangi Sungai Golok melalui sebuah pangkalan haram di Tanah Merah, awal pagi Isnin.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) melalui kenyataan pada Isnin memaklumkan, ketika kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, sepasukan anggota mengesan dua individu menunggang motosikal ke arah pangkalan haram di sempadan Sungai Golok sebelah Malaysia.
"Apabila diserbu, seorang daripada mereka terus melarikan diri ke Thailand dengan menyeberangi sungai itu," katanya.
Menurut kenyataan itu, warga Pakistan tersebut turut mendakwa perjalanannya untuk meninggalkan Malaysia melalui Thailand diuruskan oleh lelaki yang telah melarikan diri itu.
"Lelaki tersebut dipercayai bertindak sebagai ejen yang mengaturkan proses kemasukan dan penghantaran pendatang asing tanpa izin (PATI) di antara Malaysia dan Thailand," katanya.
Kenyataan berkenaan juga memaklumkan, pasukan operasi menemui visa pelancong ke Thailand yang sah laku sehingga 7 Mei depan, telefon bimbit dan beberapa barangan peribadi.
Tambahnya, nilai keseluruhan barang yang dirampas ialah RM5,959 termasuk sebuah motosikal dipercayai milik lelaki yang meloloskan diri itu.
PATI terbabit diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, kenyataan berkenaan memberitahu, cabaran bertugas sepanjang Ramadan tidak akan mematahkan semangat pasukan operasi untuk terus bertugas dan melakukan rondaan.
"Kami akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.