ALOR SETAR - Seorang anak yang disyaki membunuh dan membakar ibunya di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini pada Ahad sempat keluar bersama sehari sebelum Ramadan.
Suspek berusia 43 tahun, memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa sebelum insiden tersebut.
Menurut jirannya, Mohd Khalil Ismail, 48, suspek pada hari Sabtu membawa ibunya keluar makan dan ke bank.
"Sehari sebelum kejadian, hari Sabtu dia bawa mak dia naik motosikal pergi makan, pergi bank, elok tiada masalah,” katanya semasa ditemui pada Isnin.
Khalil berkata lagi, dia mengetahui mengenai kejadian itu apabila anak perempuan suspek yang berusia 14 tahun datang ke rumahnya meminta bantu ibunya.
"Saya hanya mengenali mangsa sebagai 'Tok Cah'. Dia sangat rapat dengan ibu saya kerana sering menghadiri kelas al-Quran bersama di sebuah surau berhampiran.
"Saya benar-benar terkejut apabila insiden ini berlaku. Saya percaya ia terjadi semasa waktu sahur," ujarnya.
Jelas Khalil, dia difahamkan pada pagi kejadian, keadaan berubah apabila mangsa yang bangun untuk bersahur meminta suspek menutup televisyen dan makan ubat penenang.
Permintaan itu dipercayai mencetuskan kemarahan suspek sehingga dia bertindak di luar kawalan.
"Saya tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana siasatan masih dijalankan. Tetapi saya dengar suspek enggan mengambil ubatnya. Ada juga yang mengatakan pergaduhan berpunca daripada menonton televisyen," katanya lagi.
Tambahnya, suspek ada masa-masa tertentu kurang waras dan pernah berlari dalam kawasan sawah dengan tidak berpakaian namun tidak mengganggu orang kampung.
Seorang lagi penduduk di Jalan Tok Keling, Afifah Mohd Shahbudin, 38, mengakui tidak mengenali mangsa dan suspek dengan rapat.
Menurutnya, dia hanya mengetahui suspek mempunyai masalah mental namun tidak pernah membuat masalah di kampung tersebut.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang anak direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan ibunya yang maut ditemukan dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, pada pagi Ahad.
Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah membenarkan permohonan reman tersebut bermula Isnin sehingga 9 Mac ini di Mahkamah Majistret, di sini kepada suspek berusia 43 tahun.
Terdahulu suspek yang dibawa ke lokap mahkamah dengan menggunakan trak polis tiba jam 8.30 pagi.