KOTA BHARU – Sekitar 5,000 peserta dijangka menyertai World #QuranHour 2025 peringkat negeri Kelantan yang akan diadakan pada 25 Mac ini dengan lokasi utama di Madinah Ramadan, Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Pengarah World #QuranHour 2025 negeri Kelantan, Surena Mohd Noor berkata, program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu bertujuan menyatukan umat Islam melalui pembacaan serta tadabbur al-Quran.
"Madinah Ramadan dipilih sebagai lokasi utama di Kelantan kerana ia bukan sekadar tempat berbuka puasa, tetapi juga pusat aktiviti keagamaan yang memberi peluang kepada umat Islam untuk mendalami al-Quran dalam suasana penuh keberkatan.
Menurut beliau, World #QuranHour 2025 kali ini akan memberi penekanan kepada tadabbur Surah As-Saf yang mengandungi mesej penting mengenai kepentingan kesatuan dalam membina umat yang kuat dan berdaya saing.
"Melalui tema #SavingTheUmmah, kita mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keperluan bersatu padu dalam menghadapi cabaran ummah hari ini.
"World #QuranHour juga dijalankan serentak di seluruh negara termasuk dan beberapa negara lain dengan matlamat memperkukuhkan hubungan umat Islam dengan al-Quran,” katanya.
Surena berkata, penyertaan bagi program ini terbuka kepada semua dan individu yang berminat boleh hadir secara langsung ke Madinah Ramadan dan di lokasi-lokasi terpilih atau mengikuti secara dalam talian.
"Bagi organisasi besar atau badan bukan kerajaan yang ingin menyertai secara berkumpulan, mereka boleh menghubungi saya di talian 019-9390693 untuk penyelarasan lanjut,” katanya.
Beliau turut menggalakkan umat Islam mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkan Ramadan dengan mendekatkan diri kepada al-Quran selain meraih keberkatan berganda menerusi aktiviti ibadah.
"World #QuranHour bukan sekadar program membaca al-Quran, tetapi juga platform untuk kita memahami dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian,” katanya.