KUANTAN - Kebakaran ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini sejak 22 Februari lalu merebak dengan kawasan terbakar meningkat kepada 75.67 hektar sehingga Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, kebakaran kembali merebak pada Ahad akibat tiupan angin kencang.
Menurutnya, daripada keseluruhan kawasan terbakar, 66.77 hektar berjaya dipadamkan manakala usaha memadam baki kawasan terbakar seluas kira-kira 8.9 hektar masih diteruskan.
"Operasi memadam kebakaran yang kini memasuki hari kesembilan dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dibantu anggota balai bantuan luar dan agensisshabat dengan keseluruhan anggota terlibat 103 orang.
"Operasi dibahagikan kepada tujuh sektor bagi mengawal api dari terus merebak ke kawasan lain di ladang seluas 526.09 hektar itu," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Mohd Razam berkata, pengeboman air akan dilakukan menggunakan pesawat jenis Mi-17.
"Bantuan pam dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digunakan untuk membanjiri keseluruhan kawasan terbakar.
"Jentera jengkaut dari Jabatan Kerja Raya (JKR) digunakan untuk membuat 'fire break' dan akses laluan pemadaman," katanya.