KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 35,368 kes penipuan dan kegiatan jenayah komersial di seluruh negara pada tahun lalu dengan nilai kerugian berjumlah RM1.6 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah tersebut meningkat kira-kira tiga peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 34,495 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM1.2 bilion.
Beliau berkata, pihaknya menerima kira-kira 41,701 laporan kes komersial dan sebanyak 84.5 peratus daripadanya membabitkan jenayah penipuan.
Sepanjang tahun lalu, menurutnya, sebanyak 24,388 serbuan dijalankan di seluruh negara.
"Kita juga mendapati kes penipuan semakin berkembang dalam pelbagai bentuk daripada penipuan telefon, penipuan SMS hingga ke tawaran pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi yang kini menjadi ancaman serius,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengiktirafan Wira Bank #JanganKenaScam 2025.
Hadir sama Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank.
Dalam majlis tersebut, seramai 67 kakitangan bank diberi penghargaan atas usaha luar biasa mereka melindungi pelanggan daripada menjadi mangsa penipuan scammer.
Menurut Ramli, kerjasama antara PDRM dan sektor perbankan perlu diperkukuhkan dalam usaha menangani peningkatan kes penipuan.
Jelasnya, bank memainkan peranan penting dalam membantu siasatan bagi memantau transaksi kewangan mencurigakan serta menyediakan maklumat penting kepada pihak berkuasa.
Untuk rekod katanya, dua tahun sehingga tahun lalu, industri perbankan berjaya memintas dan menghalang transaksi dalam talian mencurigakan dan kes penipuan bernilai kira-kira RM780 juta.
Tegasnya, walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan, masyarakat turut sama memainkan peranan penting dalam mencegah jenayah penipuan.
"Orang ramai digesa untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan baharu serta mengikut nasihat pihak bank dan polis.
"Jenayah penipuan dapat dicegah dengan usaha bersepadu daripada semua pihak termasuk penguatkuasaan yang lebih ketat, teknologi keselamatan yang baik, dan kesedaran masyarakat yang tinggi,” ujarnya.