Pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak mula berkuat kuasa

Iklan
Azalina memaklumkan beberapa akta berkaitan turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan. Foto fail

PUTRAJAYA - Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Pindaan 2024) [Akta 676] kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.

Ia selepas pindaan Akta 676 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai tahun lalu mula berkuat kuasa hari ini.

Iklan
Iklan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan akta tersebut bertujuan untuk memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.

Menerusi kenyataan pada Isnin, beliau memaklumkan beberapa akta berkaitan turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan.

Iklan

Ia termasuklah Akta Keterangan 1950 [Akta 56], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 1949], Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].

"Dengan pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual kepada Akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

Iklan

"Ini termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan di bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan," katanya.

Tambah Azalina, kerajaan tekad untuk terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan.

"Usaha ini juga sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak," jelas beliau.