Batal lesen jika 'sewa atas sewa' kepada warga asing

Iklan
Mohd Jafni ketika melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Ahad.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan membatalkan lesen perniagaan mana-mana peniaga Bazar Ramadan atau Bazar Aidilfitri yang didapati dijalankan oleh warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan sama turut diambil sekiranya berlaku aktiviti ‘sewa atas sewa’ yang membabitkan peniaga warga asing.

Iklan
Iklan

"Kita tidak mengeluarkan lesen bazar kepada peniaga asing. Jika terdapat kes sewa atas sewa, lesen perniagaan itu akan dibatalkan serta-merta,” katanya ketika ditemui selepas meninjau hari pertama operasi Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, di sini pada Ahad.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah serta Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Jafni memaklumkan, kerajaan negeri tidak menghalang kreativiti peniaga dalam menjalankan perniagaan, namun mereka perlu mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan.

"Bagi memastikan pematuhan peraturan di bazar, kerajaan negeri mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Iklan

"KKM akan memastikan peniaga mematuhi peraturan berkaitan penyediaan makanan, termasuk suntikan tifoid dan aspek kebersihan lain. KPDN pula akan memantau kawalan harga di bawah Akta Antipencatutan 2011,” tambahnya.

Mohd Jafni turut menegaskan bahawa penganjur bazar sudah sedia maklum mengenai garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, ujarnya, pemantauan dan pemeriksaan tetap akan dilakukan bagi memastikan kepatuhan terhadap peraturan.

Sementara itu, katanya, sebanyak 12,757 petak jualan bagi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri telah diluluskan di 228 lokasi melibatkan 16 PBT di seluruh negeri.

Menurutnya, jumlah tersebut merangkumi 11,202 petak jualan di 200 lokasi bagi Bazar Ramadan serta 1,555 petak di 28 lokasi bagi Bazar Aidilfitri.

"Ini menunjukkan peningkatan kira-kira tiga peratus berbanding tahun lalu,” katanya.