KUALA LUMPUR - Seramai 75,566 orang kurang upaya (OKU) telah mendapat pekerjaan sepanjang tempoh lima tahun sejak 2020 hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, semua inisiatif dilakukan bagi memastikan golongan tersebut mendapat latihan kemahiran dan akses kepada pekerjaan, termasuk pensijilan di bawah Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia.
"Dalam memperkasakan usaha kerajaan membantu OKU, KESUMA telah dipertanggungjawabkan mengetuai Jawatankuasa Pekerjaan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Jawatankuasa ini bertujuan berbincang dan mencadangkan langkah penyelesaian isu akses pekerjaan OKU," katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu Abdul Rahman turut memaklumkan, penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs khusus golongan OKU di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi serta Yayasan Warisan Anak Selangor, menjadi antara strategi membantu mereka mendapatkan akses kepada pekerjaan.
Selain itu menurutnya, pelaksanaan program 'Return to Work' (RTW) bagi pengurusan hilang upaya dilaksanakan untuk membantu pencarum yang cedera atau menghidap penyakit agar dipulihkan dan kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat.
Terdahulu menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah), Abdul Rahman berkata, kerajaan masih melaksanakan inisiatif pelepasan cukai kepada golongan OKU sama ada secara terus kepada induvidu, pasangan atau ibu bapa mereka.
"Pelepasan cukai yang diberikan oleh kerajaan sebanyak RM600 sebulan secara terus kepada mereka.
"Selain itu pelepasan cukai berjumlah RM7,000 diberikan kepada OKU dan RM6,000 kepada pasangan OKU dan RM8,000 yang mempunyai anak OKU," jelasnya.