Data Banci Pertanian 2024 akan bangunkan MySAgR

Iklan
Arthur berkata, beberapa kementerian termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan agensi negeri sedang giat melaksanakan analisis bagi tujuan pengesahan dan pengabsahan data.

KUALA LUMPUR - Analisis data Banci Pertanian 2024 kini di peringkat memuktamadkan dapatan awal bancian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan, beberapa kementerian termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan agensi negeri sedang giat melaksanakan analisis bagi tujuan pengesahan dan pengabsahan data.

Iklan
Iklan

"Dapatan daripada Banci Pertanian 2024 akan dimanfaatkan untuk membangunkan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR).

"Integrasi data banci tersebut dengan data pentadbiran daripada kementerian dan agensi berkaitan akan menghasilkan pangkalan data lebih komprehensif dan bersepadu," katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Banci Pertanian 2024 yang bermula pada 7 Julai 2024 bertujuan menghasilkan data inklusif, relevan dan bertepatan masa, meliputi subsektor tanaman, ternakan, perikanan serta perhutanan dan pembalakan bagi menyokong perancangan dan dasar yang berkesan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, hasil analisis banci pertanian juga akan digunakan untuk penerbitan statistik pertanian secara berkala selain merangka, memantau dan menilai program bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Iklan

Menurutnya, ia termasuk pengemaskinian indikator pertanian dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pertanian serta pembangunan Indeks Harga Input Pertanian dan Indikator Keterjaminan Makanan Negara.

"KPKM yakin pengumpulan dan analisis data terkini dan komprehensif memainkan peranan penting dalam perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang lebih tersusun dan efektif.

"Penggunaan data yang tepat dan relevan membolehkan sumber terhad diagihkan secara cekap dan berkesan, sekali gus meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara," ujarnya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai inisiatif khusus untuk meningkatkan produktiviti petani kecil di Kedah, Arthur berkata, KPKM telah mewujudkan 15 pasukan khas dalam pelbagai bidang dan sektor untuk mendapatkan data terkini.

"Apabila data diperolehi, ia membantu kerajaan merangka dasar dan pelaksanaan program lebih tepat kepada golongan sasar," jelasnya.