Sewa tunggak hingga RM34,000, MBS cabut 6 pintu rumah PPRT

Iklan
Operasi MBS kali ini tertumpu kepada enam penyewa yang mempunyai tunggakan tertinggi iaitu di antara RM17,000 hingga RM34,000. Foto MBS

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertindak menanggalkan enam pintu rumah penyewa di Rumah Pangsa Kos Rendah (PPRT) Lobak di sini selepas gagal menjelaskan tunggakan sewa sehingga ada yang mencecah RM34,000.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, operasi pada 27 Februari lalu itu melibatkan Ahli Majlis MBS, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBS dan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS.

Iklan
Iklan

"Operasi ini turut dibantu oleh anggota polis dari Balai Polis Jalan Campbell dan ia dilakukan secara berhemah tanpa melibatkan sebarang insiden dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan.

"MBS sentiasa memberi peluang dan membantu penyewa dengan menyediakan pelbagai kaedah supaya penyewa dapat menjelaskan tunggakan sewa dengan kadar sewa RM150 sebulan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Ujarnya, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan namun masih terdapat ramai penyewa mengambil sikap sambil lewa untuk menjelaskan tunggakan sewa.

"Operasi kali ini tertumpu kepada enam penyewa yang mempunyai tunggakan tertinggi iaitu di antara RM17,000 hingga RM34,000.

Iklan

"Notis penamatan perjanjian penyewa terlibat telah tamat pada 31 Januari lalu dan tempoh pengosongan rumah juga telah berakhir pada 26 Februari.

"Setelah tamat tempoh dan peluang yang diberikan, MBS telah mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terlibat sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun penyewa masih dibenarkan tinggal di premis berkenaan untuk sementara waktu sebelum dapat menjelaskan tunggakan atau mendapatkan kediaman di tempat lain.

"MBS akan meneruskan operasi ini secara berkala dari semasa ke semasa. Penyewa di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi dan PPRT Lobak juga diminta menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang telah ditetapkan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tindakan MBS itu turut dilakukan di PPR Paroi pada tahun lalu yang membabitkan tunggakkan sewaan melebihi RM15,000.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar menjelaskan bahawa tindakan tersebut adalah antara bentuk penguatkuasaan yang dilakukan agensi tersebut.

Malah beliau juga berpendapat ia bukannya satu tindakan zalim sebaliknya bagi memberi pengajaran kepada mereka yang culas.