ALOR SETAR – Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, pada pagi Ahad.
Mangsa berusia 68 tahun, dipercayai dibunuh oleh anak kandungnya sendiri dalam satu kejadian amuk sekali gus mengejutkan penduduk setempat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, polis menerima panggilan kecemasan MERS999 pada jam 7.48 pagi, melaporkan seorang lelaki mengamuk di kediaman berkenaan.
"Sepasukan polis segera dikerahkan ke lokasi dan berjaya menahan lelaki, 43, di hadapan rumah terbabit.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar di dalam rumah, dikenal pasti sebagai ibu kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Ahad.
Siti Nor Salawati berkata lagi, kejadian itu disaksikan oleh anak suspek berusia 14 tahun, juga tinggal di rumah berkenaan.
Dalam keterangannya kepada polis, remaja itu memaklumkan bahawa pertengkaran antara bapanya dan neneknya iaitu mangsa berlaku sekitar jam 7.00 hingga 7.30 pagi.
Menurutnya, saksi terdengar neneknya menjerit meminta tolong dan dia terus keluar dari bilik lalu lari mendapatkan bantuan jiran.
"Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku tetapi mendakwa diancam oleh suspek, menyebabkan mereka mengambil keputusan menghubungi polis untuk tindakan segera," ujarnya.
Siasatan awal mendapati suspek adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental, namun polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat, sementara suspek kini dalam tahanan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.