SABAK BERNAM - Pengalaman kali pertama menjadi imam solat sunat tarawih meninggalkan kesan mendalam kepada Muhammad Huzaifah Solihin Abdullah, 20, dan kekal diingati sehingga kini.
Muhammad Huzaifah memberitahu, tekanan sebagai imam di sebuah surau lima tahun lalu membuatkannya gugup hingga terlupa bilangan rakaat semasa menunaikan solat sunat itu.
"Rasa malu dan tidak yakin diri sangat kuat pada waktu itu, apatah lagi selepas tersilap bilangan rakaat dan terpaksa duduk semula dan lakukan sujud sahwi,” katanya.
Pelajar Maahad Tahfiz Ehsaniyyah Parit 10, Pasir Panjang itu berkata, kesilapan itu sebenarnya menjadi pembakar semangat buatnya untuk lebih berhati-hati dan tenang semasa mengimamkan solat tarawih.
"Saya kini lebih yakin mengetuai jemaah,” tambahnya yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.
Beliau memberitahu, pada tahun ini, dia sekali lagi diamanahkan untuk mengimamkan solat tarawih di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar.
"Ini kali kedua saya dipilih menjadi imam di masjid ini sepanjang Ramadan dengan tumpuan kepada bacaan dari juzuk satu hingga tiga,” ujarnya yang huffaz al-Quran 30 juzuk pada 14 November 2023.
Ditanya mengenai bayaran menjadi imam tarawih, Muhammad Huzaifah tidak menetapkan sebaliknya terpulang kepada pengurusan masjid atau surau.
"Saya pernah terima bayaran sebanyak RM2,000 daripada pihak masjid dan bolehlah digunakan untuk perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri,” tambahnya.
Sementara itu, Pengetua Maahad Tahfiz Ehsaniyyah, Muhammad Azraie Suparman berkata, seramai 19 pelajar dan tiga guru dari maahad itu akan menjadi imam solat tarawih tahun ini.
"Sebagai persiapan, kami mengadakan sesi latihan pemantapan imam dan bilal solat tarawih selama satu jam setiap hari.
"Kami sudah bersedia dari segi bacaan, berhadapan dengan masyarakat dan menjaga penampilan kami sebagai sebuah institusi tahfiz,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, pemilihan surah yang dibaca semasa solat tarawih juga bergantung kepada lokasi.
"Jika di surau, jemaah lebih memilih bacaan yang tidak terlalu panjang, manakala di masjid mereka cenderung untuk mendengar bacaan daripada juzuk awal,” katanya.