SHAH ALAM - Sokongan yang diberikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada Datuk Seri Rafizi Ramli untuk kekal sebagai Timbalan Presiden dilihat sebagai langkah strategik bagi mengukuhkan kestabilan dalaman parti.
Penganalisis Sosio Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Muqit Muhammad berkata, tindakan Anwar juga bertujuan meminimumkan politiking dalaman parti tersebut, terutama menjelang pilihan raya.
"Pada saya, kepercayaan tersebut diberikan bagi meminimumkan politiking dalaman parti. Tambahan pula, pemilihan kali ini merupakan jentera yang akan berdepan dengan pilihan raya tak lama lagi.
"Lagipun, saya lihat kedudukan Rafizi dalam akar umbi PKR makin menguat berbanding dengan (Datuk Seri) Saifuddin (Nasution Ismail),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Anwar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Selangor pada Jumaat dilapor menyatakan sokongan terhadap Rafizi dengan menyatakan Ahli Parlimen Pandan itu harus diberi ruang untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya.
Beliau telah mengamanahkan Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, menjadi timbaannya, dan Rafizi harus diberi ruang untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya.
Mengulas lanjut Abdul Muqit berkata, pemilihan PKR kali ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk melakukan peremajaan parti.
"Saya lihat bahawa PKR sedang melakukan rejuvenasi parti. Termasuklah jawatan presiden sendiri yang saya difahamkan juga merupakan penggal terakhir bagi Anwar.
"PKR melakukan langkah yang berani dalam berdepan PRU yang akan datang dengan mengadakan pemilihan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu berhubung pemilihan parti adalah kuasa mutlak kepada kepimpinan tertinggi dan beliau percaya sokongan yang diberikan terhadap Rafizi sebagai strategi dalam memastikan PKR kekal harmoni.
Katanya, sebarang elemen yang boleh membawa parti kepada perubahan lebih baik, akan diambil kira.
"Dalam konteks ini, keputusan-keputusan tertentu akan berkaitan dengan strategi parti politik ia harus difahami sebagai salah satu kuasa mutlak atau kepentingan mana-mana parti dalam negara termasuk PKR."Ini demi mengatur strategi untuk mengekalkan sokongan masyarakat termasuk memperlihatkan strategi untuk menghadapi PRU (pilihan raya umum).
"Paling utama adalah memastikan PKR terus mendominasi dan kekal relevan melalui sokongan dan tata kelola strategi parti-parti berkepentingan dalam negara, mahupun untuk berkepentingan rakyat,” katanya.