SEMALAM Merak Jalanan solat tarawih di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz. Kebetulan pula tidak bekerja, jadi ambillah peluang solat di masjid negeri.
Merak Jalanan pergi bersama seorang rakan dengan menaiki motosikal kerana dapat merasakan pastinya sesak di kawanan masjid dan laluan sekitar.
Sembahyang tarawih ini merupakan salah satu ibadah yang sangat dinantikan oleh umat Islam setiap kali tiba bulan Ramadan.
Pada awal Ramadan, masjid-masjid di seluruh negara dipenuhi dengan jemaah yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan ibadah ini.
Kemeriahan dan semangat yang tinggi dapat dilihat dengan jelas, di mana setiap ruang masjid dipenuhi dengan barisan jemaah yang ingin meraih pahala dan keberkatan bulan yang mulia ini.
Namun, seiring berlalunya waktu, seperti yang pernah berlaku sebelum ini, kehadiran jemaah semakin surut, terutama menjelang pertengahan hingga ke penghujung Ramadan.
Apa yang pada awalnya penuh dengan semangat, bakal menjadi semakin berkurangan.
Suasana masjid awal Ramadan penuh sesak mulai kelihatan kosong. Hal ini mungkin disebabkan oleh keletihan setelah seharian berpuasa, kesibukan dengan urusan harian, hilangnya rasa keghairahan dalam beribadah seiring berjalannya waktu atau memenuhi undangan berbuka puasa di luar.
Sebenarnya, inilah cabaran bagi setiap umat Islam untuk mengekalkan semangat beribadah sepanjang Ramadan.
Solat tarawih bukan sekadar rutin, tetapi ia adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH, memohon ampunan dan meraih pahala yang berlipat ganda.
Oleh itu, walaupun kehadiran mungkin berkurang, kita perlu terus berusaha agar semangat beribadah tidak pudar, melainkan terus kekal hingga ke penghujung Ramadan.
Sama seperti janji kawan Merak Jalanan, dia tekad hadir di masjid untuk solat tarawih hanya untuk lapan rakaat.