Mencerakinkan dividen KWSP 6.3 peratus

Iklan
KWSP mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi iaitu sebanyak 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024. Foto Bernama

BAGI para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berita berkenaan dividen 6.3 peratus bagi tahun 2024 adalah suatu berita yang begitu manis.

Pada kadar dividen ini, pihak KWSP telah berjaya mengumumkan prestasi yang terbaik semenjak tahun 2018.

Iklan
Iklan

Selain itu, prestasi yang sebegini juga mencerminkan kedudukan ekonomi Malaysia yang baik apabila negara mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya di samping kadar pengangguran yang terus menyusut kepada 3.1 peratus pada Disember 2024.

Hakikatnya, prestasi baik ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kemeruapan pasaran kewangan tahun lalu banyak disumbang faktor luaran.

Iklan

Faktor utama yang menyebabkan turun naik harga-harga saham dan kadar pulangan bon adalah suasana kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) terutamanya pada separuh tahun pertama.

Pasaran pada ketika itu seolah-olah sukar mempercayai bahawa bank pusat AS akan menurunkan kadar faedah disebabkan faktor ekonomi AS yang mengukuh serta kadar inflasi yang masih tinggi.

Iklan

Namun situasi ini berubah apabila kadar faedah AS mula diturunkan pada bulan September.

Mesej yang ingin disampaikan adalah kebanyakan punca kemeruapan pasaran adalah disebabkan faktor-faktor luaran yang sudah pasti di luar kawalan kerajaan Malaysia dan juga pihak KWSP.

Justeru, perkara ini menuntut suatu displin yang tinggi bagi KWSP dalam merencana strategi pelaburan mereka.

Pasukan penyelidikan ekonomi, pasaran ekuiti dan pasaran modal serta kuantitatif antara entiti dalaman yang akan membantu para pengurus dana untuk membuat keputusan pelaburan.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana menganalisis suasana pelaburan adalah suatu perkara kompleks dan melibatkan pelbagai bidang.

Bermula daripada sudut pandang makroekonomi yang melibatkan dasar kerajaan serta dinamika politik sehinggalah ke peringkat mikroekonomi seperti prestasi kewangan syarikat yang dilaburkan yang melibatkan produk, industri, barisan pengurusan syarikat serta tren permintaan pasaran dan perubahan dasar serta teknologi.

Ia begitu kompleks dan perlu dicerakinkan supaya ia boleh beri gambaran jelas bagaimana wang simpanan ahli-ahli KWSP akan dilaburkan. Sesudah keputusan dibuat, pelaburan itu akan dipantau dari semasa ke semasa supaya objektif pelaburan dapat dipenuhi.

Perkara ini sudah pasti melibatkan pemasaan atau timing bagi merealisasikan pulangan pelaburan yang akan menyumbang kepada kadar dividen bagi tahun semasa.

Justeru, prestasi pelaburan ini tidak bersifat statik dan sentiasa berubah. Sebagai contoh, tahun 2025 ini dilihat akan banyak dipengaruhi dasar ekonomi pentadbiran AS yang banyak menggunakan instrumen dasar seperti kenaikan tarif terhadap import yang boleh meningkatkan kos perniagaan dan kos sara hidup di AS.

Memandangkan ekonomi AS adalah yang terbesar di peringkat global maka sebarang kelembapan pertumbuhan ekonomi AS sudah pasti akan dirasai oleh negara-negara lain dan menyebabkan turun naik dalam harga-harga saham dan bon akan lebih menular dan boleh menjejaskan prestasi pelaburan.

Oleh itu, ahli-ahli KWSP disaran sentiasa 'berkira-kira' dalam membuat keputusan untuk mengeluarkan wang mereka di dalam dana persaraan ini.

Ini adalah kerana usaha menghasilkan 1 peratus kadar dividen melibatkan pelbagai usaha yang kompleks kerana dinamika pasaran sentiasa berubah hampir setiap saat.

* Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad