KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas maut selepas basikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler berhampiran persimpangan Hotel Royal Chulan, Cherating, Jalan Kuantan-Kemaman pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Abu Hanifah Yusof, 60, dari Kampung Cherating Baru, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan mendapati lori treler dan mangsa dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.
"Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa yang berada di sisi kiri kenderaan itu telah hilang kawalan dan bergesel di bahagian sisi kiri lori treler tersebut hingga menyebabkan kemalangan berlaku.
"Pemandu lori treler yang berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mangsa pula disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan dengan baik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.