PETALING JAYA - Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari rumah perlindungan sejak Khamis lalu.
Remaja dikenali sebagai Thavamalar itu kali terakhir dilihat berada di kawasan Jalan 12/6, Seksyen 12 di sini pada 28 Februari kira-kira jam 7.05 malam.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, laporan kehilangan mangsa diterima pada 1 Mac lalu pada jam lebih kurang 5.13 petang.
"Siasatan awal mendapati remaja berkenaan telah keluar dari rumah perlindungan sebelum dilaporkan hilang.
"Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, ciri-ciri fizikal mangsa adalah berketinggian 159 sentimeter, berat 52 kilogram, berkulit coklat, berambut panjang hitam serta berbadan kurus.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ainaa Athira di talian 010-2762186," katanya.