10 produk hasil inovasi UMK bantu tingkat ekonomi penduduk setempat

Iklan
Dr Arham (tiga dari kiri) dan Dr Mohd Hannan (tiga dari kanan) menunjukkan produk makanan tambahan berasaskan madu kelulut.

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus mengorak langkah dalam penyelidikan dan inovasi dengan menghasilkan 10 produk termasuk lima yang sudah dikomersialkan dalam usaha membantu membangunkan ekonomi penduduk setempat.

Naib Canselor UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah berkata, universiti itu bukan sekadar pusat akademik tetapi juga mempunyai peranan besar dalam memastikan hasil penyelidikan memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat.

Iklan
Iklan
Dr Arham (tiga dari kiri) bersama Dr Mohd Hannan (tiga dari kanan) menandatangani plak sebagai gimik perasmian.

Menurutnya, terkini, produk makanan tambahan berasaskan madu kelulut yang dihasilkan melalui penyelidikan selama dua tahun oleh Fakulti Biokejurutera dan Teknologi (FBKT) UMK Kampus Jeli dengan kerjasama Hannan Medispa, turut melibatkan penternak kecil di kawasan Jeli yang membekalkan madu kelulut sebagai bahan utama.

"UMK sudah membangunkan 10 produk dalam tempoh tiga tahun.

Iklan

"Melalui produk makanan tambahan ini, UMK dapat membantu sekurang-kurang 20 penternak kecil madu kelulut mendapat pasaran tetap bagi hasil ternakan mereka dan juga dapat meningkatkan pendapatan serta membangunkan industri tempatan,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau ditemui selepas melancarkan Vitalulut Gummies dan Majlis Pemeteraian Perjanjian Pelesenan antara UMK dan Xbuzz Stingless Bee Production bagi Pelesenan Rahsia Dagangan Produk Kelulut Gummies.

Iklan
Dr Mohd Hannan (enam dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Dr Arham (enam dari kiri) bagi projek kerjasama pembangunan produk makanan tambahan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Hannan Medispa, Dr Mohd Hannan Yusoff dan Pengarah Urusan Syarikat Xbuzz Stingless Bee Production, Dr Zubaidah Aimi Abdul Hamid yang juga Pensyarah Kanan FBKT.

Selain itu, UMK juga menghasilkan beberapa inovasi seperti sistem pengeringan makanan laut berasaskan tenaga solar (INSOLER) yang merupakan hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS), krim pelindung matahari, minuman berasaskan kenaf dan cuka daripada rambutan serta dokong.

Dr Arham menjelaskan, kejayaan itu bukan sahaja menunjukkan keupayaan UMK dalam bidang penyelidikan, malah membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi boleh memainkan peranan signifikan dalam memperkasa ekonomi setempat.

"Pendekatan kami adalah untuk memastikan penyelidikan yang dijalankan mempunyai impak kepada masyarakat.

"Sebab itu, kebanyakan inovasi yang dibangunkan oleh UMK mempunyai elemen penglibatan komuniti,” ujarnya.

Selain produk berasaskan makanan dan pertanian, UMK turut menghasilkan produk kesihatan seperti gel madu kelulut campuran habbatus sauda dan minyak zaitun, yang kini sedang dalam proses kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, dengan ekosistem inovasi yang lebih mantap, UMK berhasrat memperluaskan lagi usaha membawa teknologi dan penyelidikan ke pasaran global.

"Produk UMK kini sudah mula memasuki pasaran Brunei dan usaha sedang giat dijalankan untuk menembusi pasaran Indonesia.

"Kami percaya universiti bukan sahaja tempat menuntut ilmu tetapi juga pemacu ekonomi yang dapat memberi impak baik kepada kehidupan rakyat,” katanya.