TAPAH - Mudah didekati dan sedia mendengar keluhan rakyat tanpa mengira latar belakang antara kriteria dimahukan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam memilih wakil rakyat baharu.
Ahmad Thaqif Ismail, 31, berkata, mereka memerlukan wakil rakyat yang jujur dan ikhlas dalam membela nasib dan kebajikan rakyat sepertimana kepimpinan penyandang, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia bulan lalu.
Menurutnya, sepanjang menjadi wakil rakyat, Allahyarham Ishsam kerap turun padang meninjau masalah dihadapi penduduk dan segera berusaha mencari jalan menyelesaikannya.
"Arwah kerap menyertai aktiviti yang dianjurkan masjid dan surau, malah tanpa segan silu berbincang dengan jawatankuasa untuk mengenal pasti ahli-ahli kariah yang perlu dibantu.
"Sekiranya ada kematian, beliau akan jadi antara individu terawal menziarahi keluarga mangsa.
"Saya harap wakil rakyat baru yang menang nanti dapatlah teruskan kepimpinan sebegitu kerana mudah rakyat nak jumpa," katanya yang merupakan Imam Masjid Jamek Sungai Lesong.
Ishsam, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan pilihan raya kecil (PRK) di DUN tersebut pada 7 Mac ini.
Kusnin Hasan, 71, mahu isu kebajikan dijadikan fokus utama oleh wakil rakyat memandangkan majoriti penduduk di kawasan itu kalangan wanita, warga emas dan mereka yang bekerja sendiri.
Katanya, paling penting wakil rakyat itu senang didampingi dan memudahkan penduduk bertemu bagi mengutarakan sebarang masalah yang berlaku.
"Kalau jadi pemimpin kenalah rajin bergaul dengan masyarakat, janganlah hanya nampak ketika nak mengundi sahaja," katanya.
Suri rumah, Nor Rafidah Zulkafli, 56, berharap, wakil rakyat baharu nanti dapat membantu meningkatkan keupayaan ekonomi wanita menerusi produk industri kecil sederhana (IKS).
"Ada kalangan penduduk yang mengusahakan jualan kuih dan kerepek dari rumah, secara kecil-kecilan sahaja. Belum ada peluang teroka pasaran lebih luas kerana kurang pendedahan," katanya.
Dalam nada sama, Mohd Farhan Mohamad, 35, berkata, ramai anak muda di kawasan itu terlibat dalam sektor pertanian dan penternakan.
Dia yang mengusahakan ternakan lebih 100 ekor lembu mengakui, memerlukan bimbingan dan bantuan peruntukan untuk memastikan potensi perniagaan di masa akan datang.
"Kalau kawasan luar bandar ni, tak banyak peluang pekerjaan membuatkan anak-anak muda di sini memilih kerja sendiri.
"Harap wakil rakyat yang dipilih nanti boleh bantu generasi muda ini bangunkan perusahaan mereka sebagai sumber pendapatan yang tinggi," katanya.