OKU penglihatan desak kemudahan lebih mesra di LRT, kawasan awam

Iklan
Sarojini (kiri)dan Guan Fatt mendesak kerajaan menyediakan kemudahan lebih mesra di LRT, kawasan awam.

KUALA LUMPUR - Kekurangan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan tahap keselamatan yang masih rendah menjadi cabaran terbesar untuk golongan itu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Brickfields mendapati, rata-rata OKU penglihatan itu meluahkan rasa bimbang mengenai keselamatan diri susulan insiden lelaki buta yang maut selepas terjatuh di landasan dan digilis tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Seorang OKU buta, Sarojini Subramaniam, 55, berkata, walaupun dia sering menggunakan laluan sama setiap hari, namun kekurangan kemudahan menyebabkan pergerakan mereka terbatas.

Dia yang bekerja sebagai tukang urut turut mengakui terpaksa mengharapkan bantuan orang ramai dan polis bantuan sekiranya mahu menggunakan perkhidmatan LRT serta pengangkutan awam lain.

Iklan

"Saya harap pihak berkuasa boleh tambah pagar keselamatan automatik pada setiap stesen LRT kerana kebanyakannya tiada. Kami tidak nampak sama ada tren lalu atau kami sebenarnya sudah dekat dengan landasan.

"Kadang-kadang ada polis bantuan dan orang ramai juga tolong tetapi selalunya tiada kerana mereka pun sibuk mahu bekerja atau pergi tempat lain, saya tidak mahu menyusahkan atau ganggu orang lain.

Iklan

"Saya perlu berdikari sendiri untuk mencari rezeki, kadang-kadang jual tisu dan kacang di merata tempat untuk menyara diri kerana suami sudah meninggal dunia, jadi saya harap pihak berkuasa boleh mempertimbangkan perkara ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Sarojini, sesetengah individu di ibu kota itu juga tidak menghiraukan laluan pejalan kaki OKU penglihatan sehingga menimbulkan kesukaran untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

Dalam pada itu, seorang lagi OKU buta yang juga tukang urut, Mun Guan Fatt, 37, berkata, meskipun berdepan dengan kesukaran untuk bergerak disebabkan buta, namun ia tidak mematahkan semangat untuk keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Menurutnya, kekurangan yang dimiliki menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk diterima dalam dunia pekerjaan menyebabkan terpaksa menjaja dan menjual barangan berhampiran stesen LRT.

"Saya sering duduk di sini (stesen LRT) kerana ini sahaja saya tahu dan memudahkan pergerakan saya selain tumpuan orang ramai untuk pergi bekerja kerana menggunakan pengangkutan awam.

"Saya tidak mahu mengharapkan simpati orang tetapi ini sahaja yang saya boleh lakukan untuk menyara hidup, kadang-kadang ada juga yang menipu kerana tak beri upah yang cukup tetapi saya anggap bukan rezeki saya.

"Kami tidak nampak dan penglihatan juga terbatas, jadi saya harap selepas ini pihak berkuasa dapat meningkatkan tahap keselamatan untuk golongan seperti kami lebih-lebih lagi dengan kejadian OKU buta yang maut digilis tren," ujarnya.