Lembu segar lebih dua tan RM25 sekilogram licin dalam tiga jam

Iklan
Orang ramai beratur untuk mendapatkan daging segar pada harga RM25 di pekarangan Masjid Wakaf Tembesu di Kuala Nerus.

KUALA NERUS – Sebanyak 2.83 tan daging lembu segar dijual pada harga RM25 sekilogram habis dalam tempoh tiga jam sempena program jualan khas Daging Rakyat pada Sabtu.

Ahli Lembaga Pengarah MAIDAM Property, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, program jualan melibatkan 10 ekor lembu tempatan itu diadakan di tiga lokasi utama, iaitu Masjid Tok Ku Tuan Besar, Masjid Wakaf Tembesu dan Masjid Padang Nanas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jualan bermula jam 9 pagi itu bagi membantu masyarakat mendapatkan daging lembu tempatan dengan potongan harga 28 peratus sebagai persiapan menyambut Ramadan, Ahad ini serta menjelang sambutan Aidilfitri nanti.

"Program jualan hari ini merupakan kesinambungan program yang pernah diadakan sebelum ini di mana pada Disember lalu, sebanyak 223 tan daging daripada 50 ekor lembu telah terjual.

Iklan

"Tujuan kita adakan program jualan ini bukan untuk bersaing dengan peniaga lain, kita hanya mahu memberikan peluang kepada masyarakat mendapatkan daging pada harga rendah," katanya.

Shaikh Harun (kiri) meninjau Jualan Daging Rakyat di pekarangan Masjid Wakaf Tembesu, Gong Badak, di Kuala Nerus pada Sabtu.

Iklan

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran program Jualan Daging Rakyat di pekarangan Masjid Wakaf Tembesu, Gong Badak, di sini pada Sabtu.

Jelas Shaikh Harun, program itu juga memberi peluang kepada golongan peniaga untuk mendapatkan bekalan daging, dengan syarat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

"Mereka yang mendapatkan bekalan daripada kami perlu mematuhi syarat supaya tidak mengambil keuntungan berlebihan kerana keuntungan seharusnya tidak melebihi 10 peratus.

"Ia juga sama seperti mana ditetapkan oleh kerajaan bagi barangan asas di bawah harga kawalan," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut memantau keperluan barangan asas yang semakin mendesak di negeri ini, terutamanya telur, gula, gandum dan minyak masak.

Ujarnya, penyertaan lebih ramai peniaga dan koperasi masjid untuk terlibat dalam program jualan harga rendah bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

"Kami sedang berusaha menyelesaikan perkara ini sebelum 15 Ramadan dengan menjalinkan kerjasama bersama pembekal di Kuala Lumpur, termasuk di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Perbincangan bersama Ketua Pengarah telah diadakan dan bekalan akan disalurkan kepada masyarakat dengan harga berpatutan," katanya.