KOTA BHARU - Pengasuh dan pendidik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada minat semata-mata, sebaliknya perlu dilengkapi ilmu dan kefahaman agama bagi membentuk kesabaran yang tinggi dalam mendidik anak-anak kecil.
Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Ahmad Hazman Ali, berkata pemikiran bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan bidang yang mudah sering menjadi punca tekanan kepada individu yang tersilap memilih kerjaya tersebut.
"Ramai menganggap kursus ini sebagai jalan mudah untuk menjadi guru atau pengasuh, tetapi hakikatnya ia menuntut tahap kesabaran yang sangat tinggi.
"Dalam menguruskan kanak-kanak, ada masanya kesabaran boleh hilang dan ketika itu hanya iman yang menjadi benteng diri,” katanya ketika ditemui dalam Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) Masterchef 2025 di Tunjong, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, program Diploma dan Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak di KIAS menekankan elemen Islamik sebagai kekuatan utama dalam membentuk pendidik yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga memiliki jati diri dan nilai spiritual yang tinggi.
"Di KIAS, persekitaran Islamik diterapkan dalam pembelajaran, termasuk aspek pemakaian dan adab.
"Ini menjadi nilai tambah kepada pelajar, terutama dalam menangani cabaran di taska atau prasekolah yang kadangkala menguji kesabaran dan emosi mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran utama dalam bidang ini adalah memastikan hanya individu yang benar-benar berminat dan layak menjadi pengasuh serta pendidik.
"Cadangan seperti melaksanakan ujian personaliti juga bersesuaian supaya hanya mereka yang benar-benar bersedia dan berminat meneruskan pengajian dalam bidang ini.
"Jika minat tidak ada, ia boleh membawa kepada masalah disiplin dan tekanan di kemudian hari,” katanya.
Sementara itu, pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak KIAS, Muhamad Ammar Mukhriz Othman, 20, mengakui bahawa pada awalnya dia hanya menyertai kursus ini atas kehendak ibunya, namun lama-kelamaan mula meminati bidang tersebut.
"Pada mulanya, saya sekadar mengikut pilihan ibu, tetapi setelah beberapa lama, saya menjadi terbiasa dan akhirnya seronok mendalami dunia pendidikan awal kanak-kanak.
"Minat itu datang dengan sendiri, lebih-lebih lagi apabila kita bergaul dengan kanak-kanak,” katanya.
Berkongsi cabaran dalam bidang itu, Muhamad Ammar Mukhriz menekankan bahawa setiap kanak-kanak perlu dilayan sama rata tanpa memilih kasih berdasarkan rupa atau sifat mereka.
"Sebagai pendidik, kita perlu melayan mereka seperti anak sendiri dan tidak boleh memilih kasih, contohnya hanya melayan kanak-kanak yang comel serta mengabaikan yang lain.
"Kalau betul mahu menjadi guru, kita perlu berlaku adil kepada semua kanak-kanak,” tambahnya.
Program pendidikan awal kanak-kanak di KIAS telah dilaksanakan selama hampir 10 tahun dan menerima lebih 200 pelajar dalam setiap pengambilan.