PONTIAN – Ramadan yang bermula Ahad, terasa suram dan hiba bagi sebuah keluarga apabila kehilangan ketua keluarga mereka, sehari sebelum umat Islam memulakan ibadah puasa.
Mohd Azam Husin, 32, berkata ayahnya, Husin Arsad, 72, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Masjid Jamek Kampung Pak Intan untuk menunaikan solat Jumaat.
Menurutnya, arwah belum sempat menikmati lauk kegemarannya iaitu sayur nangka masak lemak dan ayam masak kicap kerana mahu menunaikan solat terlebih dahulu.
Azam yang menjaga arwah selepas pemergian ibunya sejak 10 tahun lalu berkata, ayahnya sejak kebelakangan ini lebih banyak termenung dan berdiam diri berbanding sebelum ini yang gemar bergurau dengan cucu-cucunya.
"Ketika kejadian, saya dalam perjalanan mengambil tiga anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekawan Desa, Parit Kahar, manakala arwah bersendirian ke masjid.
"Saya menerima panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan ayah terlibat dalam kemalangan tidak jauh dari masjid,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Eng Joon, Parit Sikom, pagi Sabtu.
Azam yang mengusahakan bengkel membaiki kenderaan di rumahnya memberitahu selepas kematian ibunya, dia tinggal bersama arwah ayah bersama isteri dan lima anak mereka.
Sementara itu, isteri Azam, Siti Nor Fazilah Suratman, 31, meluahkan rasa sedih kerana tidak sempat menunaikan hasrat membeli baju Melayu berwarna biru untuk arwah ayah mentuanya sempena Aidilfitri tahun ini.
Katanya, dia dan suami bercadang untuk memakai pakaian sedondon berwarna biru, tetapi tidak menyangka arwah telah pergi selama-lamanya.
"Tiada perubahan pada ayah mentua, cuma sejak akhir-akhir ini dia lebih banyak termenung dan berdiam diri,” katanya sayu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kemalangan di Kilometer 1.7 Jalan Parit Sikom – Parit Panjang, membabitkan tiga buah kenderaan berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari.
"Kemalangan melibatkan sebuah Honda Accord, Lexus, dan Perodua Kancil yang dipandu oleh mangsa.
"Siasatan awal mendapati Honda Accord yang datang dari arah Parit Sikom ke Parit Panjang hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta Lexus yang dipandu lelaki warga Singapura serta Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di badan serta kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu Honda Accord mengalami kecederaan di kepala, muka dan tangan, manakala pemandu Lexus tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.