SHAH ALAM - Inisiatif Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang bermula hari ini bakal menjadi platform untuk menangkis sebarang penyebaran fitnah dan maklumat palsu di samping memastikan rakyat menerima berita sahih secara terus daripada sumber rasmi.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, melalui taklimat itu, PMO akan menjelaskan isu semasa, dasar-dasar penting dan perkembangan terkini yang perlu diketahui rakyat.
Menurut jurucakap tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju memperkenalkan Taklimat Harian PMO yang bakal disiarkan secara langsung di media sosial rasmi beliau memandangkan keperluan untuk mendapatkan fakta tepat dan sahih amat penting.
"Inisiatif ini juga selaras gagasan Madani yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber sahih.
"Selain daripada inisiatif komunikasi, Perdana Menteri akan melaksanakan program Ihya’ Ramadan di kementerian-kementerian bagi menjadikan bulan puasa sebagai madrasah rohani bukan sahaja dari aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
"Sepanjang bulan puasa, beliau juga akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam, diikuti sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh beliau sendiri berserta penceramah jemputan.
"Melalui program ini, kejujuran, disiplin dan tanggungjawab diperkukuh dalam kalangan penjawat awam selaras teras Kesejahteraan gagasan Madani," katanya pada Sabtu.
Orang ramai boleh mula mendapatkan maklumat terkini mengenai Perdana Menteri menerusi Taklimat Harian PMO yang diadakan dalam dua sesi iaitu pada jam 11 pagi dan 5 petang.
Sementara itu, jurucakap PMO memaklumkan, Anwar juga bakal melawat beberapa negeri sepanjang Ramadan bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sekali gus bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa Madani.
Tambahnya, butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan.
Jelas beliau lagi, PMO menggalakkan seluruh rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis tersebut sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan.
"PMO percaya bahawa komunikasi yang jelas, keterbukaan dalam pentadbiran dan pengukuhan nilai-nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat serta kerajaan.
"Justeru, kami mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong dan menyertai inisiatif ini demi kebaikan serta kemajuan negara kita.
"Marilah kita jadikan Ramadan ini sebagai bulan islah yakni pembaharuan dalam komunikasi, pentadbiran dan kehidupan," ujarnya.