PENANTIAN pencarum bakal berakhir memandangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilapor akan mengumumkan keuntungan serta kadar dividen bagi Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional tengah hari ini.
Ramai penganalisis ekonomi dan ahli akademik berpandangan bahawa pencarum akan tersenyum lebar tahun ini kerana kadar dividen KWSP bagi Simpanan Konvensional dijangka mencapai antara enam ke 6.3 peratus manakala Simpanan Shariah sekitar 5.4 hingga 5.6 peratus.
Antaranya ialah Penganalisis Ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhammad Senan kerana katanya, prestasi ekonomi negara dan pelaburan KWSP sepanjang 2024 dilihat semakin positif.
Menurut beliau, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan RM57.57 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2024, meningkat 20 peratus berbanding RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023.
Bukan itu sahaja, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus, meningkat daripada 3.6 peratus pada 2023.
Ia turut didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, peningkatan pelaburan dan pemulihan eksport, malah sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.4 peratus manakala pembuatan meliputi 4.2 peratus.
Selain itu, pelaburan langsung asing (FDI) juga meningkat, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga memberi gambaran bahawa pencarum bakal menerima pulangan lumayan kali ini, bahkan lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Apa pun, diharapkan pengumuman yang dijangka berlangsung jam 12 tengah hari itu melegakan hati ramai pihak memandangkan ramai memberikan ‘hint’ positif sejak awal Februari lalu.