SHAH ALAM- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus memperkasa misi mempromosikan Malaysia di peringkat global dengan memperkenalkan 112 laluan penerbangan baharu.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, menjelang Disember 2024, Malaysia telah mengendalikan sebanyak 3,362 penerbangan tetap mingguan dengan kapasiti sehingga 673,069 penumpang setiap minggu.
Menurutnya, jumlah penerbangan dan kapasiti penumpang itu hampir menyamai peratusan sebelum pandemik dengan masing-masing mencatatkan tiga peratus dan 4.5 peratus di bawah angka 2019.
"Malaysia telah melancarkan 80 laluan penerbangan antarabangsa baharu pada tahun 2024 berbanding tahun 2023 termasuk 44 dari Asia Timur dan Selatan, 30 dari negara ASEAN dan enam dari wilayah lain seperti Asia Tengah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, antara laluan baharu pada 2024, beberapa syarikat penerbangan mula beroperasi di Malaysia buat pertama kali, termasuk FlyDubai dari Dubai, Turkmenistan Airlines dari Asia Tengah, LOT Polish Airlines dari Poland serta Loong Air dan Juneyao Air dari China.
"Banyak sambungan baharu juga datang dari China dan India.
"Penambahan laluan penerbangan baharu dan yang disambung semula, yang hampir menyamai kapasiti penumpang sebelum pandemik adalah faktor utama dalam pemulihan sektor pelancongan," katanya.
Tujuh misi lawatan
Bagi memperkukuh pelancongan Malaysia, King Sing turut mengetuai tujuh misi lawatan ke luar negara bersama pegawai kementerian dan Tourism Malaysia tahun lalu.
Delegasi tersebut telah mengunjungi beberapa bandar utama seperti Shanghai, Guangzhou, Kunming, Osaka, Tokyo, Oman, Bahrain, Kuwait, United Kingdom dan Perancis.
Sepanjang lawatan tersebut, mereka telah bekerjasama dengan 10 syarikat penerbangan, enam organisasi dan mengadakan pertemuan bersama 39 agensi pelancongan.
Dalam pada itu, King Sing turut mengakui bahawa usaha promosi Malaysia di beberapa pasaran antarabangsa masih kurang berkesan.
Beliau berkata, penambahbaikan bukan sahaja diperlukan dalam pemasaran antarabangsa tetapi juga memperkasakan tarikan pelancongan domestik bagi mengatasi kekurangan sedia ada selain memperkenalkan elemen baharu untuk mengekalkan daya saing.
"Isu ini memerlukan perhatian segera. Saya telah mengarahkan kementerian dan Tourism Malaysia untuk segera menangani cabaran ini dan merangka pelan penambahbaikan bagi memastikan strategi pemasaran lebih berkesan serta sumber digunakan secara optimum.
"Tahun lalu, saya sendiri melawat Langkawi untuk berinteraksi dengan penggiat industri pelancongan tempatan dan mengumpul idea bagi menyemarakkan kembali pelancongan domestik,”ujarnya.
Warisan budaya diiktiraf peringkat antarabangsa
Dalam pada itu, menurut King Sing, Malaysia terus memperoleh pengiktirafan antarabangsa yang ketara sekali gus mengukuhkan hubungan budaya bersama beberapa negara.
Tambah beliau, kementerian telah memulakan proses pencalonan warisan budaya seperti Wayang Kulit Kelantan, tarian singa dengan kerjasama dari China dan Chingay bersama Singapura.
"Pada tahun 2024, tiga warisan budaya negara kita telah menerima pengiktirafan antarabangsa daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Tapak Arkeologi Gua Niah telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Budaya Dunia.
"Selain itu, budaya sarapan pagi Malaysia dan kebaya yang dicalonkan bersama beberapa negara jiran, telah disenaraikan dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO,” katanya.
Sementara itu, King Sing turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Hari Pelancongan Dunia 2025.
Acara itu akan berlangsung bersama Forum Pelancongan Dunia dan menjadi perhimpunan industri pelancongan global.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, kementerian turut dipertanggungjawabkan untuk mempromosikan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN yang merupakan salah satu tonggak utama pembangunan serantau.
"Ini dijangka dapat menggalakkan lebih ramai pelancong ke negara ini serta meningkatkan keterujaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Sejak tahun lalu, kami telah memberikan fokus kepada meningkatkan pertukaran budaya antara negara-negara," katanya.
King Sing berkata, pada Mesyuarat Menteri Kebudayaan dan Seni ASEAN ke-11 di Malaysia, beliau telah bekerjasama dengan rakan-rakan sejawat dari pelbagai negara meneroka kaedah menyatukan kekuatan budaya dan membina komuniti serantau yang lebih kukuh.
Malaysia kukuhkan kerjasama budaya dengan pelbagai negara
Mengulas lanjut, King Sing berkata, Malaysia telah memeterai beberapa perjanjian kerjasama budaya dengan China dan India menerusi Perjanjian Kerjasama Budaya Malaysia-China (2024-2029) serta memorandum persefahaman (MoU) Malaysia-India.
Tambah beliau, beberapa negara lain turut berminat untuk memeterai perjanjian dengan Malaysia dalam sektor budaya.
"Semasa pertemuan saya dengan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli, kami bersetuju untuk memfokuskan kepada kerjasama dalam pelancongan budaya selain membincangkan projek bersama seperti pertukaran budaya pelajar serta pembangunan industri budaya.
"Kami juga akan menubuhkan kumpulan kerja bersama peringkat kerajaan dengan Bahrain dan Uzbekistan bagi memastikan kelancaran kerjasama dalam projek pelancongan serta budaya,” katanya.