KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan 60 peratus keuntungan disalurkan kembali kepada rakyat tidak lama lagi.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, dengan 60 peratus daripada keuntungan diagihkan melalui dividen kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (KNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH), rakyat khususnya pesara serta generasi akan datang diharap mendapat manfaatnya.
"Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja tumpu kelangsungan kewangan, tetapi untuk memastikan kejayaan TNB dipulangkan kepada negara melalui sokongan dana pencen, pertumbuhan ekonomi serta akses tenaga yang mampu milik buat rakyat.
"Dengan 60 peratus keuntungan diagihkan melalui dividen kepada GLIC, TNB pastikan rakyat Malaysia, pesara dan generasi akan datang mendapat manfaat daripada sektor tenaga yang stabil dan berfokus kepada masa depan.
"Ia kerana TNB bukan sekadar membekalkan tenaga ke rumah dan perniagaan, kami juga memacu kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Media Keputusan Kewangan 2024 bertempat di Tower A, TNB Platinum, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Kewangannya, Badrulhisyam Fauzi.
Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata, prestasi kewangan yang kukuh membolehkan TNB melabur semula dalam infrastruktur negara, meningkatkan kecekapan tenaga dan memperluaskan akses kepada tenaga bersih mampu milik bagi kediaman serta perniagaan.
Beliau turut memberitahu, TNB giat memperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak jelas kepada rakyat merangkumi empat teras utama iaitu pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Tambahnya, inisiatif itu termasuk memperluaskan projek pembekalan elektrik (elektrifikasi) di kawasan luar bandar, menyediakan program latihan pendidikan dan kemahiran serta membiayai projek lestari berasaskan komuniti.
Jelasnya lagi, meskipun salah satu kebimbangan utama rakyat tentang keuntungan TNB mempengaruhi kadar tarif elektrik atau sebaliknya, syarikat memberi jaminan bahawa tarif dikawal oleh kerajaan dan tidak berkaitan dengan keuntungan pihaknya.
"Pelaburan semula dalam kecekapan grid membantu mengekalkan kadar tarif yang berpatutan dan menghindari sebarang peningkatan tidak munasabah.
"Program mengutamakan rakyat seperti insentif solar dan tarif mengikut masa penggunaan yang membantu mengurangkan bil elektrik.
"Kami memahami rakyat Malaysia mahukan kesaksamaan dan ketelusan. Tetapi, komitmen kami jelas, keuntungan tidak diambil begitu sahaja sebaliknya dikembalikan kepada rakyat melalui perkhidmatan yang lebih baik, tarif stabil dan jaminan bekalan tenaga jangka panjang,” ujar beliau.