Calon PRK Ayer Kuning: Pas Perak tunggu isyarat PN

Iklan
Razman (berdiri kiri) hadir memberi sokongan kepada gabungan NGO Islam Perak yang melakukan demonstrasi 'Desak Haramkan Buku Becoming Hannah' di luar Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh pada Jumaat.

IPOH - Pas Perak menunggu isyarat daripada pimpinan Perikatan Nasional (PN) bagi menentukan calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, buat masa ini, belum ada sebarang perbincangan atau perjumpaan dilakukan mengenai PRK tersebut.

Iklan
Iklan

"PN belum bincang lagi. Lagipun belum diisytiharkan lagi kekosongan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).

"Jadi kita tunggu dan lihatlah apa keputusan pimpinan di atas. Dalam hal ini, sudah semestinya PN akan bermesyuarat," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Iklan

Razman mengakui, secara trasidi kerusi DUN tersebut ditandingi calon Pas termasuklah pada pilihan raya umum (PRU) lalu menerusi gabungan PN.

Begitupun pihaknya yakin, PN akan memilih calon dalam kalangan individu yang bukan sahaja berkelayakan tetapi mampu memberi kemenangan kepada parti.

Iklan

"Yang lepas (PRU) memang calon Pas, tetapi PRK ini kita ikut apa yang diputuskan parti. Kita walak (taat) dan tiada masalah mengenai itu.

"Kerana kita PN dan sepatutnya akan tunggu keputusan yang dibuat secara bersama dalam PN," katanya.

Mengulas mengenai peluang untuk PN menang, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengulas perkara itu.

"Dari dulu lagi walaupun kalah atau ketika tiada apa-apa, kita tetap bertanding.

"Samalah keadaannya, kita tidak akan undur, meskipun hanya ada satu cawangan, kita tetap tanding," katanya.

Terdahulu, Razman hadir memberi sokongan kepada gabungan NGO Islam Perak yang melakukan demonstrasi 'Desak Haramkan Buku Becoming Hannah' di luar Masjid Sultan Idris Shah II di sini.

Demonstrasi disertai 10 NGO Islam Perak antaranya Pertubuhan Kebajikan Amal Islami Kubro, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berlangsung selama 30 minit dalam keadaan aman.

Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning (N48) berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi DUN Ayer Kuning.

Allahyarham memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain daripada Pakatan Harapan, PN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air (GTA).