Imigresen serbu penempatan warga asing di Kajang, 96 PATI ditahan

Iklan
Sebahagian PATI yang mendiami rumah sewa tidak tersusun di lot tanah persendirian di Kajang, Selangor ditahan pasukan operasi JIM, jam 1.40 pagi pada Jumaat. - Foto: JIM.

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah penempatan warga asing yang mendiami rumah sewa tidak tersusun di lot tanah persendirian di Kajang, Selangor jam 1.40 pagi pada Jumaat.

Terkejut dengan serbuan awal pagi dilakukan oleh pasukan operasi, terdapat warga asing 'bermasalah' cuba menyorok dan meloloskan diri namun tindakan itu sia-sia apabila mereka berjaya diberkas.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan 96 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Tindakan Operasi Penguatkuasaan di sekitar Kajang.

Beliau berkata, operasi itu digerakkan dengan kekuatan seramai 116 orang pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat JIM Putrajaya serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Seorang PATI cuba meloloskan diri berjaya diberkas pasukan operasi JIM yang menyerbu rumah sewa tidak tersusun di lot tanah persendirian di Kajang, Selangor, jam 1.40 pagi pada Jumaat. Foto: JIM.

Iklan

"Dalam operasi ini seramai 135 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 96 orang PATI yang berumur di antara 20 hingga 69 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.

Iklan

"Lokasi serbuan tertumpu di sebuah lot tanah persendirian yang telah dibangunkan rumah-rumah sewa yang tidak tersusun," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tinggal dan menetap di lokasi tersebut tanpa dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.

Kesemua tahanan dalam operasi JIM, jam 1.40 pagi pada Jumaat ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. - Foto: JIM.

Menurutnya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Tambahnya, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI," ujarnya.