SEREMBAN - Empat individu termasuk tiga warga China didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menghasilkan dadah jenis kokain bagi tujuan pengedaran, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, He Jingjing, 36, Cheng Ziyue, 36, Hu Jingjie, 28, dan warga Malaysia Tan Wee Jin, 36, dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan keempat-empat tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh dengan niat bersama telah didapati menyediakan barangan untuk penghasilan dadah jenis kokain sebagai persediaan bagi maksud pengedaran dadah terbabit.
Selain itu, Jingjing berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) iaitu mengedar dadah jenis kokain dianggarkan seberat 2,145 gram.
Berikutan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) ADB dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan NSV 2/2, Nilai Spring Villa, Nilai kira-kira jam 6 petang, 17 Februari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini tidak menawarkan jaminan.
Peguam Navin Punj mewakili Wee Jin manakala Ziyue dan Jingjie diwakili peguam Chang Kai Ping serta JingJing tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan sebutan semula bagi laporan kimia pada 24 April depan.
Media pada 20 Februari lalu melaporkan polis Negeri Sembilan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menyerbu sebuah makmal dadah di Nilai, seterusnya menemukan dadah jenis kokain seberat 2.145 kilogram (kg) bernilai RM429,000.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, dua lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia 27 hingga 38 tahun turut ditahan pada serbuan terbabit.