Masyarakat antarabangsa perlu lindungi pelarian Uyghur - ABIM

Iklan
Ahmad Fahmi

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa masyarakat antarabangsa supaya melindungi pelarian Uyghur di Thailand yang dihantar pulang ke China daripada tindakan tidak berperikemanusiaan negara tembok besar itu.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, masyarakat antarabangsa khususnya negara serantau perlu memperkukuhkan pendirian dalam memberikan perlindungan kepada pelarian Uyghur dan menolak sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan serta hak asasi mereka.

Iklan
Iklan

Katanya, ABIM sememangnya bimbang terhadap tindakan kerajaan Thailand yang menghantar pulang 40 pelarian Uyghur ke China.

"Tindakan Thailand itu juga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat antarabangsa malah mendapat perhatian meluas media global terhadap nasib malang yang bakal dihadapi pelarian tersebut.

Iklan

"Meskipun kerajaan Thailand mendakwa telah menerima jaminan daripada pihak berkuasa China yang dikatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan kepada pelarian terbabit namun rekod sejarah menunjukkan keadaan sebaliknya berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Fahmi menambah, ini kerana kebanyakan pelarian Uyghur yang dihantar pulang ke China pada masa lalu sering kali tidak dapat dihubungi malah ada yang dilaporkan hilang.

Iklan

"Keadaan ini jelas menimbulkan kebimbangan mendalam mengenai keselamatan dan hak asasi mereka.

"Justeru, ABIM mengingatkan kerajaan Thailand bahawa tindakan mereka berpotensi menjadi sejarah hitam dan boleh dijadikan alasan oleh negara lain termasuk China untuk terus melakukan penghantaran balik pelarian Uyghur yang berusaha mencari perlindungan di luar negara," katanya.

Menurutnya, situasi berkenaan menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan serta hak asasi pelarian Uyghur selepas dihantar semula ke negara asal.

"ABIM khuatir tindakan kerajaan Thailand ini akan dijadikan justifikasi oleh China untuk meneruskan tindakan serupa terhadap mana-mana pelarian Uyghur yang berusaha mendapatkan perlindungan di luar negara.

"Langkah ini boleh memberi kesan negatif kepada prinsip kemanusiaan dan hak asasi pelarian Uyghur yang sekian lama ditindas, sepertimana yang telah dibuktikan dengan kesaksian mangsa dan siasatan antarabangsa," katanya.

Jelasnya, dengan rekod hak asasi manusia yang membimbangkan di China, komuniti Uyghur perlu diberikan perlindungan sewajarnya.

Katanya, tindakan berkenaan selaras dengan prinsip 'non-refoulement', yang menghalang mana-mana negara daripada menghantar pelarian kembali ke tempat di mana mereka berisiko berdepan dengan penyeksaan, penindasan dan pencabulan hak asasi manusia.