KUANTAN - Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, Jun tahun lalu.
PPNP yang diwakili bendaharinya, Wan Aidie Amin Wan A Aziz bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pertubuhan itu didakwa menduduki tanah kerajaan negeri di Kampung Kawah, Mukim Hulu Kuantan di sini tanpa kebenaran sah dan di tuduh bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828.
Jika sabit kesalahan, pihak terlibat berdepan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi Seksyen 426C(3) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828, harta atau barangan yang dirampas boleh dilucutkan hak jika dibuktikan jika ia digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Pahang (UPNP) Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Muhammad Taqiyuddin Azizan memohon jaminan dikenakan kepada pihak berkenaan namun menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan jumlah jaminan tersebut.
Sementara itu PPNP yang diwakili peguam Asiah Abd Jalil dalam rayuannya memohon satu jumlah jaminan yang rendah memandangkan pertubuhan itu bukan syarikat yang bersifat keuntungan.
Asiah berkata, sekiranya jaminan dikenakan, wang yang digunakan untuk membayar jaminan adalah wang pertubuhan milik ahli dalam kalangan petani dan penternak rakyat negeri Pahang.
"Selain itu, dalam kes ini, tiada kerosakkan atau kehilangan hasil negeri berlaku," katanya.
Mengambil kira rayuan pihak PPNP, Hakim Azman Mustapha menetap jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala 18 April depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut dalam mahkamah sama.
Pada 2 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Kuantan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir selepas beliau gagal hadir mewakili organisasi itu untuk menghadapi pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa sah.
Waran tangkap tersebut dikeluarkan oleh Hakim Azman Mustapha setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Najmi Zaki Amir Suhaimi.