'Sedia hadapi, beri kerjasama penuh' - Along Cham

Iklan
Along Cham hadir ke Mahkamah Majistret Sepang pada Jumaat bersama peguam dan ibunya, bagi prosiding kes dadah.

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, menetapkan sebutan semula kes memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.49 gram, membabitkan pelakon, Along Cham pada 7 April depan.

Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Inspektor Sutri Patang memberitahu, laporan kimia bagi kes berkenaan telah diperoleh.

Iklan
Iklan

Susulan itu, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mengulangi pendirian tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.

Iklan

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain kes tersebut, pelawak itu turut berdepan dua lagi kes dadah iaitu pertama, dia didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Iklan

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39(A)(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) ke dalam badan, di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Sementara itu, Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, meskipun perlu menjalani perbicaraan yang panjang, namun dia bersedia untuk menghadapinya.

Pelakon filem 'Bro, Nampak Motor Gua?' itu berkata, pada perbicaraan kelak, dia akan memberikan kerjasama yang penuh sepanjang prosiding nanti.

Menurutnya, ini merupakan perjuangannya untuk mencapai kebebasan dan sekali-kali tidak akan mengalah.

"Ibu dan keluarga termasuk sahabat-sahabat saya yang lain, sentiasa berada di belakang malah saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menyokong saya sejak awal.

"Saya akan memberikan kerjasama yang penuh," katanya ketika ditemui selepas prosiding kes di luar Mahkamah Majistret di sini bersama ibunya, Siti Habsah Kadir, 64.

Dalam prosiding ini, peserta program realiti itu diwakili peguam, Syed Yusuf Syed Zaid.