KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI] Sebuah kenderaan mewah milik seorang ahli perniagaan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah di Jalan Tuaran, di sini, pada Isnin.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata sitaan itu dibuat semasa pelaksanaan Ops Khas Luxury di negeri ini.
“Kenderaan jenis Toyota Supra 3.0L milik ahli perniagaan tersebut disita di Jalan Tuaran selepas Lesen Kenderaan Motor (LKM) dikesan telah tamat tempoh dan tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Selain itu, kenderaan tersebut juga didapati tidak mengikut spesifikasi nombor pendaftaran yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, kesalahan tersebut melanggar peruntukan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), masing-masing Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1).
“Kenderaan itu disita untuk tindakan selanjutnya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mohd Harris berkata, operasi berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan dan JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.