'Sebelum saya mengamuk, segera projek isu air di Papar'

Iklan
Armizan menggesa pihak berkaitan yang melaksanakan projek melibatkan bekalan air di bawah Parlimennya supaya menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja tersebut.

PAPAR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menggesa pihak berkaitan yang melaksanakan projek melibatkan bekalan air di bawah Parlimennya supaya menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja tersebut.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, beliau telah diberikan mandat oleh rakyat di kawasannya sebelum ini dengan harapan dapat menyelesaikan legasi isu air tersebut.

Iklan
Iklan

"Isu air ini saya cukup bertegas kerana saya terima mandat daripada rakyat Papar dengan harapan untuk selesaikan isu legasi air dan keperluan air di Papar adalah sebanyak 92 juta liter sehari (JLH) namun hanya ada 62 JHL sahaja yang ada, jadi tidak cukup.

"Kedua, kita berhadapan dengan isu kadar Air Tidak Berhasil (NRW) disebabkan paip bocor dan sebagainya. Selain itu untuk kawasan ini kita tiada bekalan air dari empangan.

Iklan

"Jadi saya cuba dapatkan penyelesaian dan Alhamdulillah dalam tempoh satu tahun kita dapat peruntukan untuk projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dilaksanakan cuma saya tiada lampu ajaib supaya ia siap sekelip mata dan memerlukan tempoh selama tiga tahun di mana kini sudah 31 peratus berjalan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu air yang melanda di kawasan Papar terutama ketika memasuki bulan Ramadan seperti yang berlaku pada Ramadan tahun lalu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini ada mengumumkan peruntukan untuk pembinaan sumber air tambahan tetapi malangnya sehingga kini projek itu belum berjalan lagi.

"Setelah saya bising hari itu, Alhamdulillah Kementerian Kewangan telah selesaikan berkaitan pelantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melaksanakan projek tersebut tetapi saya mendapat maklum balas kerja-kerja di lapangan belum dimulakan lagi.

"Jadi saya harap agensi yang terlibat menyegerakan projek tersebut, sebelum saya mengamuk lagi sebab perkara ini sangat penting bagi penduduk di kawasan ini," katanya.

Untuk rekod, pada Ramadan tahun lalu Papar antara kawasan yang terjejas teruk tiada bekalan air dan menyebabkan keseluruhan penduduknya terjejas.

Menjelaskan perkara itu, Armizan berkata, masalah bekalan air yang kritikal berlaku pada Ramadan tahun lalu turut dipengaruhi faktor bermulanya musim kemarau selepas Monsun Timur Laut (MTL) dan Fenomena El Nino.

"Tahun ini dijangka tiada berlaku fenomena El Nino tersebut jadi gangguan bekalan air diharap tidaklah seteruk seperti tahun lalu.

"Untuk pengetahuan juga, kita ada inisiatif lain iaitu telaga tiub dan juga tangki statik bagi kemudahan penduduk jika masalah gangguan bekalan air berlaku lagi," katanya.