SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menangguhkan segala pembayaran yang melibatkan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) bagi mengkaji semula syarat baharu yang dikeluarkan Bahagian Penganjuran Pendidikan Mara.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sudah memberi arahan agar syarat baharu itu dikaji semula.
"Saya telah pun meminta pengurusan Mara mengambil tindakan segera untuk mengkaji balik polisi baharu ini yang dibuat tergesa-gesa tanpa ambil kira kesan dan implikasi kepada pelajar-pelajar semasa IPMA yang dijanjikan dengan pembiayaan pelajaran.
"Sehingga keputusan dibuat, segala pembayaran IPMA, saya sudah minta supaya ia ditangguhkan,"katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, ramai pelajar IPMA berdepan kekecewaan apabila permohonan pinjaman pelajaran Mara di bawah Tajaan Pendidikan Mara (TESP) 2024 ditolak.
Lebih menyedihkan, setelah menunggu selama dua bulan keputusan permohonan tersebut diklasifikasikan sebagai tidak layak meskipun yakin bahawa pencapaian akademik mereka melayakkan untuk menerima pembiayaan.
Keputusan itu menimbulkan persoalan serta kebimbangan, terutamanya bagi mereka yang bergantung sepenuhnya pada pinjaman ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.
Tambah Asyraf, beliau mengambil tahu semua maklum balas berhubung perkara tersebut.
"Saya membaca semua maklum balas ibu bapa dan pelajar-pelajar mengenai syarat baharu yang dikeluarkan Bahagian Penganjuran Pendidikan Mara," ujarnya.