SEREMBAN - Suami isteri dan dua syarikat farmasi milik mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 15 pertuduhan menyalahgunakan QR Code dan logo yang mengandungi aplikasi FarmaChecker serta membuat representasi palsu dengan menggunakan Label Keselamatan Hologram Farmatag dua tahun lalu.
Tertuduh, Cheong Yin Yin, 40 dan James Ooi Joe Behn, 42, yang juga pengarah syarikat serta pemilik perniagaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, pasangan suami isteri terbabit didapati mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan sebanyak 2,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup yang dilekatkan padanya QR Code dan logo yang mengandungi aplikasi FarmaChecker yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
Berikutan itu tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (i) Akta yang sama.
Mereka turut didapati membuat representasi palsu dengan menggunakan Label Keselamatan Hologram Farmatag
pada 2,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
Berikutan itu mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 59 (a) Akta sama.
Turut berdepan pertuduhan sama iaitu syarikat milik mereka iaitu Fedes Sdn Bhd dan Rasa Ria(M) Sdn Bhd.
Selain itu, pasangan suami isteri terbabit di tempat dan di lokasi sama bagi mencapai niat bersama telah didapati mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan sebanyak 8,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup yang dilekatkan padanya QR Code dan logo yang mengandungi aplikasi FarmaChecker dan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] yang dijumpai di dalam sebuah kenderaan.
Justeru itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua mereka turut didakwa membuat representasi palsu dengan menggunakan Label Keselamatan Hologram Farmatag pada 8,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan KKM yang dijumpai di dalam sebuah kenderaan.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011[Akta 730] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 59 (b) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Firdaus Ruslan memohon mengguna pakai jaminan yang dikenakan terhadap tertuduh bagi kes yang disabitkan terhadap mereka sebelum ini.
Peguam, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin bersetuju dengan cadangan tersebut.
Mahkamah menetapkan jaminan mengguna pakai jaminan terdahulu dan sebutan semula kes 18 April depan.